Malaysia tidak gadai prinsip dalam soal halal

23 hours ago 12

PETALING JAYA – Kerajaan menegaskan Malaysia tidak pernah dan tidak akan berkompromi terhadap standard halal negara biarpun selepas termeterainya Perjanjian Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, segala dakwaan bahawa Malaysia tunduk kepada tekanan asing dalam soal halal adalah tidak benar dan boleh menjejaskan reputasi Sistem Pensijilan Halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, semua badan pensijilan halal luar negara termasuk dari Amerika Syarikat kekal tertakluk sepenuhnya kepada prosedur, piawaian serta syariah Malaysia.

“Perkara 2.5 dalam perjanjian itu hanya menyentuh penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf oleh Jakim. Namun, setiap proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir tetap di bawah kawalan penuh Jakim,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Na’im menegaskan, bagi mana-mana loji sembelihan (abattoir) yang ingin mengeksport produk daging atau ayam ke Malaysia, kelulusan halal hanya akan diberi selepas melalui pengauditan ketat berdasarkan Malaysian Standard dan The Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production.

“Pengauditan perlu dilakukan dengan kehadiran sekurang-kurangnya dua pegawai Syariah daripada badan pensijilan yang diiktiraf, dan laporan itu akan disemak oleh jawatankuasa yang dilantik Jakim,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengiktirafan sijil halal luar negara bukan bermaksud kelonggaran standard, sebaliknya langkah pentadbiran bagi mempercepatkan urusan perdagangan dua hala tanpa menjejaskan integriti halal Malaysia.

“Setiap produk import tetap tertakluk kepada audit Jakim, pemantauan berkala serta peruntukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Tambah beliau, standard pensijilan halal Malaysia kekal utuh dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan.

“Segala perjanjian antarabangsa yang ditandatangani masih tertakluk kepada undang-undang domestik negara. Ini selaras dengan prinsip ‘dualist system’ yang memastikan sebarang komitmen antarabangsa hanya berkuat kuasa selepas diterjemahkan ke dalam undang-undang tempatan,” jelasnya.

Dalam masa sama, Mohd. Na’im menegaskan Malaysia kekal tegas mempertahankan kedaulatan dan

keutuhan sistem halal negara yang kini menjadi penanda aras global dan diterima pakai di pelbagai negara Islam serta bukan Islam di seluruh dunia.
– KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |