Chelsea pilih pulih demi lonjakan 54 saat

17 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Pelari muda negara, chelsea Cassiopea Evaly Bopulas menutup musim 2025 dengan episod sukar apabila dihimpit kecederaan, namun tekadnya untuk bangkit pada 2026 jelas terpancar.

Atlet kelahiran Sabah itu kini menyusun semula program pemulihan dan latihan secara lebih sistematik, termasuk kembali berlatih di Semenanjung bagi mendapatkan kemudahan serta pemantauan prestasi yang lebih menyeluruh.

Mengulas perkembangan prestasinya dalam acara 400 meter (m), Chelsea yang memiliki rekod peribadi terbaik 55.19 saat (s) meletakkan sasaran lebih tinggi untuk musim baharu.

“Rekod terbaik saya 55.19s untuk 400m. Jadi saya plan untuk lari 54s. Apa-apa pun, sekurang-kurangnya 54 saat hujung atau awal musim,” katanya yang kini memberi tumpuan penuh terhadap peningkatan prestasi dalam acara tersebut.

Meskipun memulakan karier sebagai pelari pecut 100m, peralihan ke acara 400m menuntut pendekatan latihan yang berbeza dari segi daya tahan dan pengurusan tenaga sepanjang perlumbaan.

“Memang original event saya dulu 100m, kemudian saya tukar ke 400m. Masih boleh lari 100, tapi kalau fokus 400m, latihan memang untuk 400 saja,” jelasnya, sambil menambah dia tetap bersedia membantu skuad negara dalam acara 4×100 meter jika diperlukan.

Mengimbas detik mencemaskan menjelang Sukan SEA Thailand 2025, Chelsea mendedahkan kecederaan tendon yang dialaminya mula dikesan kira-kira dua minggu sebelum temasya tersebut.

“Dua minggu sebelum itu saya sudah rasa tertarik-tertarik. Sehari sebelum ke Thailand, baru dapat laporan penuh doktor. Kalau saya lari, saya hanya boleh bagi 50 hingga 60 peratus sahaja,” katanya.

Kini, fokus utama Chelsea terarah kepada proses pemulihan sepenuhnya selain menjadikan Grand Final Varsity Track & Field (VTF) sebagai pentas kebangkitan awal sebelum kembali bersaing di tahap tertinggi.

“Fokus sekarang sebab baru habis injury, mahu healing process dulu. Kejohanan utama saya buat masa ini fokus pada VTF. Untuk luar negara mungkin kurang sebab saya tahu saya belum cukup bersedia,” tambahnya lagi. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |