PDRM kawal mercun, bunga api demi keselamatan awam

13 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Pengawalan penjualan dan penggunaan mercun serta bunga api oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertujuan menjamin keselamatan masyarakat dan ketenteraman awam sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, PDRM bertanggungjawab mengawal pengimportan, penjualan, penyimpanan serta penggunaan mercun dan bunga api mengikut peruntukan undang-undang.

Katanya, kawalan tersebut dilaksanakan berdasarkan Akta Bahan Letupan 1957, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

“Pendekatan pengawalan yang dilaksanakan oleh PDRM adalah atas faktor ketenteraman awam dalam memastikan keselamatan masyarakat diutamakan.

“Langkah ini juga untuk mengelakkan sebarang risiko kecederaan, kebakaran dan gangguan komuniti yang sering dikaitkan dengan pembakaran mercun secara tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Jelasnya, mercun diklasifikasikan sebagai bahan letupan di bawah Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957 kerana mengandungi komponen yang boleh meletup atau menghasilkan bunyi, cahaya, asap serta kesan visual tertentu.

“Menerusi Pemberitahuan Larangan Bahan Letupan 2025, sebanyak 45 jenis bunga api iaitu ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ dibenarkan untuk pemilikan serta pengimportan oleh Menteri.

“Kebenaran tersebut masih tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah berkaitan serta perlu mematuhi spesifikasi dan syarat yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan berkaitan bahan letupan.

“Antara peruntukan yang boleh dikenakan termasuk Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 selain Seksyen 7 Akta sama melibatkan kesalahan memiliki, mengawal, menggunakan atau mengendalikan bahan letupan dengan niat membahayakan nyawa atau harta.

“Seksyen 8 pula melibatkan kesalahan membuat atau memiliki bahan letupan bagi tujuan yang tidak sah di sisi undang-undang,” jelasnya.

Mohd Khalid berkata, di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, kesalahan memasang bunga api juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi satu bulan atau kedua-duanya.

Katanya, tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan PDRM merupakan langkah proaktif bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |