‘Itulah fungsi negara’ – Rakyat Indonesia malu gara-gara kes Norida

15 hours ago 7

PETALING JAYA – Kisah seorang wanita warga Malaysia yang 18 tahun menetap di Lombok serta dibantu oleh Kerajaan Malaysia turut mendapat pelbagai reaksi daripada rakyat Indonesia berhubung situasi tersebut.

Menerusi perkongsian kisah Norida Akmal Ayob, 45, pada Instagram Nowdots, rakyat Indonesia meninggalkan pelbagai komen simpati dengan nasib wanita itu bersama dua anaknya, selain berasa malu susulan kejadian berkenaan.

Dalam masa sama, ada juga yang malu dengan kejadian menimpa Norida Akmal dan mereka berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas keprihatinan untuk membawa pulang wanita itu bersama anaknya bagi meneruskan kehidupan di Malaysia.

“Itulah fungsi negara dan begitulah seharunya negara kerana kalau tidak begitu, untuk apa dibuat negara,” kata pengguna Instagram Arraka Official.

“Rakyat Malaysia yang ekonomi rendah tidak akan sanggup hidup susah pada kondisi sistem Indonesia. Beda (beza) dengan hidup di Malaysia meskipun rakyatnya susah, tapi tetap bisa (boleh) sejahtera dan makmur. Sekolah anak benar-benar gratis (percuma) tanpa dipungut sumbangan atau uang (wang) masuk apapun. Banyak hal dipermudah oleh pemerintah (kerajaan) Malaysia dan juga perlindungan hukum (undang-undang) yang jelas,” komen seorang lagi pengguna Instagram Vienny WR.

“Terima kasih Malaysia menjadi teladan pemerintah,” koman Salsabila Ain Syirahh.

“Prihatin banget (sangat) pemerintahnya, aku iri (cemburu),” komen Rike Khoir.

“Sederhana, tapi bikin malu satu negara,” kata Footykaze.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, Norida tiba di Malaysia pada Sabtu lalu setelah 18 tahun menetap di Lombok kerana mengikuti suaminya warga Indonesia bersama anaknya, Nur Fateen Akmadiana, 20, yang ketika itu berusia dua tahun.

Bagaimanapun, Norida berpisah dengan lelaki itu dan terpaksa menjalani hidup bersendirian dalam kesusahan dengan bekerja sebagai tukang sapu.

Norida memiliki dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang dilahirkan di Malaysia, manakala seorang lagi, Muhamad Sabani Daniel dilahirkan di Indonesia.

Usaha membawa pulang Norida dilakukan keluarganya termasuk mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |