SEREMBAN – Seorang remaja dikesan cuba melarikan diri sehingga hampir melanggar pengguna jalan raya lain dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan yang dijalankan sekitar Sikamat di sini malam tadi.
Difahamkan, remaja lelaki berusia 19 tahun itu bertindak demikian selepas didapati menunggang tanpa lesen serta motosikal diubah suai.
Operasi yang bermula pukul 7 hingga 9 malam itu tertumpu di lokasi panas di Taman Akasia, Taman Desa Rhu, Taman Desa Kiara dan Taman Coral Heights dekat Sikamat di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, terdapat penunggang motosikal dikesan cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak polis, namun berjaya ditahan.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 41 buah motosikal telah diperiksa melibatkan seramai 51 individu termasuk enam remaja bawah umur berusia bawah 15 tahun.
“Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 118 saman telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas berkaitan motosikal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamad Hatta berkata, empat saman dikeluarkan ke atas remaja yang menunggang motosikal di bawah umur serta lapan saman ke atas pemilik yang membenarkan motosikal digunakan iaitu bersubahat.
Jelas Mohamad Hatta, antara kesalahan utama yang direkodkan ialah kes melibatkan aksesori yang tidak mengikut spesifikasi 21 kes, cermin sisi, (16), tiada nombor pendaftaran (13), menunggang tanpa lesen memandu (13), ekzos yang telah diubah suai (11)dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (11).
“Kesalahan lain adalah brek tidak berfungsi (9), pemilik membenarkan penunggang bawah umur berubahat (8), insurans tamat tempoh (5), tidak memakai topi keledar (5), menunggang bawah umur(4) dan pengubahsuaian struktur motosikal (2),” katanya.
Tambah beliau, operasi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis
untuk mengekang aktiviti samseng jalanan serta meningkatkan tahap keselamatan dan kepatuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang.