Putri Qisya semakin ceria, kembali bersekolah

1 month ago 23

JITRA – Perasaan trauma dan sedih Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, akibat kehilangan ibu bapa dan empat adik yang lemas dalam kereta di Sungai Korok, di sini pada 7 Julai lalu beransur pulih dengan dia sudah mula kembali ke sekolah pada Ahad lalu.

Menurut Putri Qisya, dia seronok apabila dapat bersama rakan-rakan dan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Perak Baru di Alor Setar yang banyak memberikan semangat kepadanya.

“Qisya baru dapat keputusan peperiksaan pertengahan tahun dan dapat nombor satu, Qisya dapat 7A daripada 12 mata pelajaran yang diambil tetapi bagi subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, Qisya perlu perbaiki lagi.

“Hari ini Qisya dapat tawaran untuk mengikuti kelas tuisyen percuma selama setahun, insya-Allah Qisya akan belajar bersungguh-sungguh. Qisya nak keputusan lebih baik sebab nak masuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),” katanya ketika ditemui di rumah ibu saudaranya di Taman Seri Aman, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Fast Track Academy, Syed Ahsan Shahul Hameed hadir menziarahi Putri Qisya dan menawarkan kelas tuisyen online secara percuma selama setahun dengan sumbangan komputer riba.

Putri Qisya merupakan anak sulung kepada pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, yang ditemukan lemas di Sungai Korok.

Turut maut dalam kejadian itu ialah empat adik Putri Qisya iaitu Putra Rayyan Nur Izzat, 9, Hawa Adriana Nur Izzat, 8, Annayla Humaira Nur Izzat, 7, dan Tuah Haydar, enam bulan.

Sementara itu, menurut ibu saudara Putri Qisya, Nur Adliah Syuhada Ishak, 26, keadaan anak saudaranya itu semakin baik berbanding sebelum ini dengan keluarga akan cuba menjaga perasaannya sebaik mungkin.

“Sekarang ini Qisya semakin okay, cuma kadang-kadang sahaja dia akan jadi sayu bila teringatkan arwah sebelum mahu tidur. Kami tak boleh nak bercerita banyak tentang arwah (ibu bapa dan adik-adik), dia sensitif sikit.

“Bila dah sekolah ini dia nampak seronok sebab ada kawan-kawan di sana. Hari pertama sekolah, dia dah naik pentas untuk ambil hadiah bagi sukan petanque, bola baling dan tulisan berangkai,” katanya.

Menurutnya, kaunselor juga ada membuat sesi kaunseling termasuk secara berkumpulan di sekolah dari semasa ke semasa.

“Sekarang kami mahu fokus pendidikan Qisya sebab kita tahu bukan mudah untuk masuk dan sambung persekolahan di MRSM, jadi Qisya perlu fokus kepada mata pelajaran yang dia agak lemah.

“Qisya boleh buat cuma mungkin ada beberapa subjek yang dia kurang minat dan perlu diperbaiki lagi. Saya memang sedang mencari kelas tuisyen, tak sangka ada pusat tuisyen yang tawarkan kelas online percuma kepadanya selama setahun,” jelasnya.

Tambahnya, dia yakin dengan kemampuan Putri Qisya yang dilihat mempunyai keazaman tinggi untuk berjaya dalam pendidikan terutama dalam memenuhi impian arwah ibu bapanya yang mahu dia memasuki MRSM. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |