PETALING JAYA – Perjalanan pulang ke kampung sempena Aidilfitri mula menunjukkan peningkatan ketara apabila beberapa lebuh raya utama dilaporkan sesak seawal pukul 3 pagi tadi.
Menerusi perkongsian pengguna media sosial, ramai perantau terutama yang menuju ke arah utara dan Pantai Timur mula bergerak awal bagi mengelakkan kesesakan lebih buruk, namun tetap terpaksa berdepan aliran trafik perlahan.
Seorang pengguna, @eim.musa berkongsi keadaan trafik sesak ketika dalam perjalanan pulang ke Kedah walaupun pada awal pagi.
“Sapa geng balik raya Kedah? Bertabahlah wahai diri.. ini cuma sementara. Pagi raya baru kita sampai Kedah,” tulisnya sambil memuat naik keadaan lalu lintas menghala ke utara pada pukul 3.40 pagi.
Sementara itu, pengguna @fvtihvh09 pula memaklumkan dia dan keluarga bertolak pada pukul 3 pagi dengan harapan dapat bersahur di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), namun perancangan itu tidak menjadi apabila terperangkap dalam kesesakan.
“Kami gerak jam 3 pagi konon nak sahur kat R&R. Sekali jem. Pukul 5.30 tak sempat nak sampai R&R. Berhenti Petronas, sekali licin rak. Roti pun habis. Mujur mi segera cawan ada tinggal sikit-sikit lagi sisa,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu dipercayai berpunca daripada lambakan kenderaan perantau yang pulang awal ke kampung halaman, khususnya dari arah Pantai Timur.
“Dasyat penangan orang Pantai Timur balik raya awal. Korang sebelum masuk Tol Gombak pastikan tapau makanan siap-siap ok,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @g_ezzy, turut berkongsi pengalaman perjalanan apabila memaklumkan dia tiba di Kuantan pada pukul 3 pagi selepas bertolak pada pukul 12.15 tengah malam.
Katanya, kesesakan hanya berlaku seketika dan dia memilih menggunakan jalan Bentong Lama bagi mengelakkan trafik di kawasan plaza tol.
“12.15am, sampai Kuantan pukul 3 pagi. Jem sekejap je. Lalu jalan Bentong lama sebab tak nak hadap jem dekat tol,” ujarnya.
Selain itu, pengguna @liyana turut mengingatkan orang ramai bahawa jalan menuju ke Gombak sudah mula sesak dan menasihatkan pemandu supaya membuat persiapan awal sebelum memulakan perjalanan.
“Jalan Gombak dah start jem. Sediakan roti dalam kereta dan pandu dengan selamat ya,” katanya sambil memuat naik kesesakan luar biasa di susur masuk Plaza Tol Gombak.
Tinjauan di media sosial turut mendapati ramai pengguna berkongsi situasi sama apabila lebuh raya dipenuhi kenderaan pada luar kebiasaan, meskipun ketika majoriti orang masih lena.
Keadaan itu sekali lagi membuktikan fenomena balik kampung sempena Aidilfitri bukan sahaja menyebabkan kesesakan pada waktu siang, malah berlarutan hingga ke awal pagi.
Dalam pada itu, dalam hantaran dimuat naik Lembaga Lebuh Raya (LLM) setakat pukul 10 malam tadi, trafik dilaporkan bergerak perlahan di Lebuh Raya Utara Selatan @E2 arah utara dari Tangkak ke Jasin ekoran kemalangan di KM 176.5.
Kemalangan tersebut menyebabkan lorong kanan dan sebahagian lorong kiri terhalang.
Trafik turut dilaporkan perlahan dari Kulai ke Sedenak di lebuh raya yang sama.
Selain itu, di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) @E6 arah selatan, trafik sesak dari Bandar Serenia ke Nilai Utara ekoran kemalangan di Persimpangan Nilai (U) arah Selatan sehingga menyebabkan lorong kiri terhalang.
Trafik juga dilaporkan bergerak sangat perlahan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak @ E8 arah timur dari KM 31.8 ke Bukit Tinggi dan dari Lentang ke Bentong. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1

















































