KOTA TINGGI – Projek perintis JanaVeteran dilihat sebagai langkah baharu dalam memperkasa keupayaan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus mengalihkan pendekatan daripada sekadar bantuan kebajikan kepada penjanaan pendapatan mampan.
Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin berkata, projek rintis tersebut dilaksanakan oleh Boustead Plantations Berhad (BPlant) melalui tanaman halia menggunakan jenama Halia KayTi.
Menurut beliau, pendekatan baharu itu memberi fokus kepada usaha membina keupayaan veteran agar mampu berdikari dan tidak hanya bergantung kepada pencen atau bantuan sekali beri.
“Usaha ini selari dengan matlamat Kementerian Pertahanan untuk memastikan kesejahteraan veteran bukan sahaja dari sudut kebajikan, tetapi juga melalui peluang pekerjaan dan pendapatan yang bermaruah.
“Selain gaji bulanan RM3,000, veteran yang terlibat turut menerima insentif berdasarkan hasil tuaian, sekali gus meningkatkan lagi potensi pendapatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek JanaVeteran BPlant di Ladang Telok Sengat di sini hari ini.
Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, projek berkenaan turut menyokong agenda keterjaminan makanan negara melalui pengeluaran tanaman bernilai tinggi.
Katanya, program tersebut akan diperluaskan secara berperingkat melibatkan kesemua 42 ladang BPlant di seluruh negara selain tanah lain yang bersesuaian termasuk milik persendirian.
“Kita akan mula dengan halia, kemudian diperluaskan kepada tanaman lain seperti lada dan tanaman bernilai tinggi yang lain. Integrasi teknologi juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan produktiviti.
“Ini juga merupakan langkah awal Kementerian Pertahanan untuk terlibat secara langsung dalam agenda keterjaminan makanan negara,” ujarnya.
Tambah beliau, projek JanaVeteran akan mengutamakan penyertaan veteran ATM sebagai usaha memastikan golongan itu terus diberdayakan sebagai aset penting negara.
“Veteran ATM adalah individu yang telah banyak berjasa dan berkorban. Kita mahu pastikan mereka terus mempunyai peranan dalam pembangunan negara, bukan sekadar bergantung kepada pencen,” katanya.
Dalam fasa pertama, projek tersebut melibatkan kawasan seluas 12 hektar dengan penyertaan seramai 15 veteran ATM.
Di Malaysia, kadar sara diri bagi halia masih rendah iaitu sekitar 15.9 peratus dengan kebergantungan import melebihi 85 peratus, manakala pasaran global komoditi itu dijangka mencecah AS$7.5 bilion menjelang 2033.-KOSMO! ONLINE

6 hours ago
6
![[VIDEO] Suami beli baju ‘ala hospital’ demi sedondon dengan isteri di hospital](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-28-at-4.51.14-PM.jpeg)

















![[VIDEO] Budak-budak serbu datang beraya dekat balai polis](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-27-at-14.37.13.jpeg)




























