Piala Malaysia: Tok Gajah mampu ulangi ‘aura’ 2014

1 day ago 6

SKUAD Sri Pahang perlu mengulangi ‘aura’ edisi 2014 ketika menjuarai Piala Malaysia dengan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 2-2.

Pandangan tersebut disuarakan oleh bekas pemain skuad Tok Gajah ketika itu, Faizol Hussain yang berharap pasukan kendalian Fandi Ahmad itu mencurah segala keringat hingga ke wisel penamat.

Kata Faizol, apa yang dilalui oleh pasukan ketika ini hampir sama dengan skuad bimbingan Datuk Zainal Abidin Hassan yang turut digelar underdog pada saingan final 11 tahun lalu.

“Waktu itu kalau kita tengok pemain Pahang ini biasa-biasa sahaja kalau nak dibandingkan dengan pemain JDT yang ramai berkualiti.

“Tetapi, selepas habis separuh masa pertama, jurulatih (Zainal) tetap bagi semangat dekat kami dalam bilik persalinan untuk lawan habis-habisan di separuh masa kedua sehingga akhirnya ke penentuan sepakan penalti.

“Kalau bercakap pasal sepakan penalti, memang kita harapkan dekat nasib sahajalah dan Alhamdulillah, akhirnya kita berjaya pertahankan trofi waktu itu.

“Sebenarnya pasukan Pahang pada waktu itu memang seperti satu keluarga, sama-sama kerja keras dan Dickson Nwakaeme antara yang banyak menceriakan pasukan kita dengan karakternya. 

“Sekarang, semua itu sudah jadi kenangan dan saya tetap berbangga selepas 11 tahun, Pahang kembali ke final dan teruskan berjuang sehingga ke wisel penamat”, katanya.

Skuad Tok Gajah kini mengidam untuk menamatkan kemarau trofi 11 tahun sekali gus mencerahkan peluang untuk kekal bersaing dalam kancah Liga Malaysia musim depan.

Sebelum ini terdapat spekulasi bahawa skuad gergasi Pantai Timur itu tidak akan bersaing pada saingan Liga M musim depan atas beberapa faktor yang tidak didedahkan. 

Read Entire Article
Pertanian | | | |