“SUDAH lama tidak pegang”.
Itu reaksi spontan pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad ketika sesi bergambar bersama trofi Piala Malaysia, namun ia menjadi mesej jelas yang mahu disampaikan jurulatih itu tentang impian untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia sulung selaku jurulatih.
Bagaimanapun, legenda Singapura itu sedar ia tidak ada jalan mudah, tetapi keinginan untuk mencipta kejutan ke atas Harimau Selatan yang dilabel selaku pasukan pilihan tidak pernah padam dalam dirinya dan setiap pemain.
“Tidak ada Kpah (Sherman) dan (Manuel) Hidalgo mungkin kita hilang ketajaman di depan dan memaksa saya gunakan pemain yang sering bermain di posisi lain. Tidak perlu gerun (kepada JDT), tetapi kena takut dengan diri sendiri.
“Bola sepak bukan hanya tentang kemahiran, tetapi kemahuan kerana kalau pemain ada kemahuan pasti mereka ada cara tersendiri untuk tampil aksi terbaik. Menang kalah kita tidak tahu, tetapi kita kena bersatu untuk beri cabaran kepada JDT.
“Kalau kita tidak bersatu, kita akan ‘pengsan’. Tidak perlu lagi saya menjerit kepada pemain, tetapi mereka kena tahu apabila di lapangan, kalau kita lalai kita akan ‘habis’,” katanya pada sidang media pra perlawanan, semalam.
Ketika bergelar pemain, Fandi memenangi Piala Malaysia sebanyak enam kali, tiga kali bersama Kuala Lumpur, sekali dengan Pahang dan dua kali ketika menyarung jersi Singapura.
Mengulas tentang persiapan Tok Gajah, Fandi menjelaskan pengurusan pasukan terpaksa mengambil inisiatif untuk menyewa padang di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang dan gembira untuk melihat kemahuan tinggi ditunjukkan setiap pemain.
Bagaimanapun, fokus utama Fandi tidak hanya tertumpu kepada strategi atau pun taktikal yang bakal diterapkan pada perlawanan malam ini, tetapi lebih menjurus kepada mengubah mentaliti pemain.
“Lawan kita bukan calang-calang dan kita terpaksa fokus untuk memotivasikan pemain untuk fikir positif kerana kalau negatif, kita akan ada masalah besar. Dalam aksi liga sebelum ini, pemain begitu bermotivasi, mudah-mudahan esok (hari ini) kita mampu beri saingan.
“Pengadil harus adil, menang kalah tidak kisah. Hari ini (semalam) kita akan ada satu lagi latihan, mungkin selepas itu baharu ada bayangan siapa yang akan berada dalam kesebelasan utama,” katanya.