PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) tekad untuk memahat sejarah baharu dengan memburu gelaran hatrik quadruple menjelang aksi final Piala Malaysia bertemu Sri Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio berharap tidak terbeban dengan tekanan sebaliknya mahu bekerja keras sepanjang 90 minit untuk merealisasikan impian menjulang trofi berprestij kali ini.
Kata Bidoglio, maruah dan reputasi JDT perlu terus dijaga bagi memastikan pasukan dapat mendominasi saingan Liga Malaysia sepenuhnya buat kali ketiga musim ini.
“JDT adalah pasukan yang besar dan semakin menunjukkan peningkatan setiap hari. Sudah tentu pasukan kami mahu kekalkan fokus untuk terus melakar keputusan positif.
“Buat masa sekarang, kita berada dalam prestasi terbaik dan pemain tahu apa yang mereka perlu lakukan.
“Saya tidak mahu berimaginasi terlalu jauh dengan menyatakan kita mampu menang. Ini kerana kita boleh kehilangan segalanya dalam masa yang singkat jika tidak beri sepenuh jiwa di atas padang.
“Dalam aksi final dan 11 lawan 11 apa sahaja boleh berlaku,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Mengulas lanjut, Bidoglio turut enggan menyatakan ketiadaan dua import utama Tok Gajah, Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo mampu memudahkan tugas benteng pasukannya.
“Secara peribadi, saya tidak suka bercakap mengenai pasukan lawan kerana apa yang lebih mustahak adalah persiapan pasukan untuk menamatkan saingan musim ini dengan gemilang,” katanya.
JDT kini memburu hatrik quadruple saingan Liga M apabila turut mendominasi Piala Cabaran, Piala FA dan Liga Super musim ini.
Sementara itu, kapten JDT, Natxo Insa memberi bayangan aksi kali ini kemungkinan menjadi final domestik terakhir buat dirinya memandangkan usia sudah menjangkau 39 tahun tahun.
“Buat masa ini saya masih menikmati sukan ini secara kompetitif dan gembira untuk menjalani latihan setiap hari. Namun, karier bola sepak mana-mana pemain pasti akan berakhir.
“Saya pasti perlawanan esok akan menjadi detik istimewa buat pasukan kerana kita ada misi untuk pertahankan kejuaraan dan meneruskan segala rekod yang dicipta,” kata tonggak warisan kelahiran Sepanyol itu.