Perhilitan pasang perangkap kamera di lokasi penemuan harimau – Exco

3 hours ago 4

KLUANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang perangkap kamera di beberapa lokasi strategik bagi memantau pergerakan harimau yang dikesan di Kampung Rahmat di sini minggu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan pihak Perhilitan ke kampung tersebut bagi meninjau situasi di lokasi selepas dikesan kehadiran seekor harimau.

Jelasnya, perangkap kamera (camera trap) dipasang beberapa lokasi strategik bagi memantau pergerakan haiwan tersebut serta mengenal pasti kekerapan kehadirannya.

Katanya, langkah ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin dan kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu pihak berkuasa mengendalikan situasi ini dengan baik.

“Sekiranya orang ramai terserempak dengan haiwan liar tersebut, jangan cuba mendekati, mengejar atau memprovokasi haiwan berkenaan.

“Segera beredar dari kawasan tersebut dan maklumkan kepada pihak Perhilitan atau pihak berkuasa berhampiran untuk tindakan lanju,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Perhilitan bagi memantau perkembangan situasi ini dari semasa ke semasa serta memastikan langkah sewajarnya diambil demi keselamatan masyarakat dan pemeliharaan hidupan liar.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau keadaan panik seterusnya mencetuskan kebimbangan khususnya kepada masyarakat di kampung ini,” katanya.

Terdahulu penduduk di Kampung Rahmat gempar selepas dua bangkai lembu dan bangkai seekor kambing ditemui dibaham harimau pada awal minggu ini.

Ketua Kampung Rahmat, Salim Darman dilaporkan berkata, penemuan bangkai lembu dan bangkai kambing itu amat mengejutkan kerana secara kebiasaannya semua haiwan ternakan itu berada tidak jauh dari kawasan rumah atau kandang.

“Susulan daripada penemuan bangkai ternakan ini, penduduk yakin harimau berkenaan akan datang lagi dalam tempoh terdekat apatah lagi masih banyak sisa tinggalan daripada lembu yang masih belum dimakannya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |