Pembangunan semula perumahan di KL bukan agenda usir orang Melayu – Anwar

1 day ago 8

KUALA LUMPUR – Pembangunan semula kawasan perumahan lama di ibu negara bukan agenda mengusir orang Melayu, sebaliknya untuk memberi kehidupan yang lebih baik kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha baik itu malangnya dijadikan bahan politik penuh cacian konon mahu merampas tanah Melayu dan agenda Cina mengusir Melayu dari ibu kota.

“Saya tidak mengerti politik begini kerana status tanah tidak berubah. Kalau flat Sri Perlis pada saya paling melemaskan, saya tidak bangga sebagai Perdana Menteri kalau tidak dapat lakukan apa-apa bangunkan flat Sri Perlis. Bila dibangunkan 1961, itu upaya negara masa itu, satu kamar, satu bilik mandi dan tandas.

“Anak enam kadangkala lebih, hidup dalam sesak begitu tiada kemudahan asas di bawah. Jadi kena pinda untuk jamin mereka dapat rumah baru di kawasan sama atau sekitar dengan minimum tiga kamar, dua bilik air. Apa masalahnya?,” katanya pada majlis Peluncuran Warisan KL di Menara 1 DBKL di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sebahagian besar rakyat di ibu negara hidup di kawasan flat yang sangat rendah dan sederhana termasuk di bangunan yang telah berusia 50 tahun.

Menurut beliau, penduduk berdepan masalah kesesakan dan keselesaan, isu sosial yang berat termasuk dadah, masalah disiplin dan pelbagai lagi disebabkan tekanan hidup dalam keadaan demikian.

Justeru, kata Perdana Menteri, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi tumpuan terhadap permasalahan tersebut dan membangunkan semula perumahan mereka.

“Sebab itu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) usulkan akta pembaharuan perumahan yang timbulkan kontroversi yang saya kurang mengerti mengapa harus dibantah.

“Orang yang biasa di Kuala Lumpur, bukan dengan hotel lima atau tujuh bintang, tetapi dengan perumahan rakyat akan tahu sebahagian besar rakyat hidup di perumahan yang sangat rendah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |