Pegawai Imigresen nafi ubah wang haram lebih RM700,000

1 month ago 24

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen (JIM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram melebihi RM700,000.

Tertuduh Nas Suffian Nasrun, 41, didakwa terlibat secara langsung dalam 64 pemindahan wang berjumlah RM718,710 secara atas talian daripada akaun bank seorang lelaki ke akaun bank sebuah syarikat.

Semua transaksi itu didakwa dilakukan antara 26 Julai 2022 dan 9 Jun 2023 di sebuah cawangan bank di Pandan Indah di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang yang terbabit atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 22 Julai lalu, Nas Suffian turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan jumlah keseluruhan RM933,295 antara tahun 2022 dan 2024.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Aznika Mohd. Anas mencadangkan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwa raya itu turut memohon mahkamah mengguna pakai syarat tambahan yang sama ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

“Sebelum ini tertuduh telah dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan syarat tambahan seperti penyerahan pasport kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran telah dikenakan,” katanya.

Selain itu, Aznika turut memohon agar kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama lima lagi pertuduhan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela, Muhammad Zaim Rosli yang mewakili Nas Suffian memohon jaminan sebanyak RM10,000 memandangkan anak guamnya telah berkhidmat selama 19 tahun sebagai penjawat awam, memiliki rekod perkhidmatan yang baik dan tidak pernah dikenakan tindakan disiplin.

“Anak guam saya berpendapatan RM5,000 sebulan dan perlu menanggung isteri serta lima orang anak berumur antara tujuh hingga 15 tahun. Dengan pendakwaan ini, beliau juga berisiko dikenakan tindakan tahan kerja,” katanya.

Hakim Rosli Ahmad kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan syarat tambahan seperti yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Shah Alam turut diguna pakai.

Mahkamah turut membenarkan permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |