PETALING JAYA – Kerjasama erat antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus diperkukuhkan melalui pemantauan, risikan serta perkongsian maklumat secara berterusan bagi membanteras kegiatan kecurian kabel.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan keselamatan serta kelancaran operasi rangkaian pengangkutan awam negara sentiasa terpelihara.
“Prasarana merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada pasukan PDRM dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor atas tindakan pantas dan profesional dalam memberkas suspek sekali gus mempercepatkan proses siasatan.
“Prasarana juga akan terus memperkukuhkan langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRT Laluan Putrajaya termasuk meningkatkan rondaan, pemantauan serta kerjasama strategik dengan pihak berkuasa,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, orang ramai diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam negara.
Terdahulu, polis berjaya menahan empat suspek dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel MRT Laluan Putrajaya menerusi satu operasi yang dijalankan baru-baru ini.
Kejayaan tersebut hasil maklumat risikan serta intipan bersama antara Unit Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pasukan PDRM dari IPK Selangor.
Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 45 tahun itu turut dibawa ke lokasi kejadian bagi tujuan pengecaman serta membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemui.
Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu.
Insiden berkenaan menyebabkan gangguan kepada operasi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana. – KOSMO! ONLINE

9 hours ago
7
![[VIDEO] Moga pencuri dapat hidayah – Anak mangsa](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-15-at-9.15.11-PM.jpeg)


![[VIDEO] ‘Fatin, kuruslah kau raya ni’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-15-at-6.27.49-PM.jpeg)













































