PUTRAJAYA – Sebanyak enam unit dron berkeupayaan tinggi digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memantau serta mengesan kesalahan trafik sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2026.
Dron terbabit berkemampuan terbang sejauh lima kilometer dan mempunyai spesifikasi teknikal termasuk fungsi zoom sehingga 200 kali, membolehkan nombor pendaftaran kenderaan dapat dikenal pasti dari jarak jauh.
Ia juga dilengkapi dengan lampu selain pembesar suara bagi memberi isyarat amaran kepada pemandu yang dikesan melakukan kesalahan lalu lintas.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pendekatan tersebut adalah bagi meningkatkan tahap pematuhan undang-undang jalan raya, khususnya dalam tempoh peningkatan aliran trafik sempena musim perayaan.
Menurutnya, penggunaan teknologi itu mampu mengesan kesalahan yang sukar dikesan melalui pemantauan konvensional di darat.
“Pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan trafik akan diberikan Notis Temu Siasat (114) di bawah Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan lanjut diambil.
“Individu yang terlibat perlu hadir ke pejabat JPJ bagi tujuan siasatan, di mana bukti kesalahan akan dikemukakan berdasarkan rakaman imej dan video melalui pengoperasian dron,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Iftar JPJ bersama Media, di sini semalam.
Beliau berkata, kesalahan yang dikesan melalui dron akan disokong dengan bukti rakaman imej dan video yang diperoleh sepanjang operasi pemantauan dijalankan.
Menurut beliau, setakat ini JPJ mempunyai enam unit dron yang akan digunakan bagi tujuan pemantauan trafik sepanjang operasi berkenaan.
Katanya, semua anggota yang mengendalikan dron tersebut telah menjalani latihan khusus dan diwajibkan memiliki lesen pengendalian sah sebelum dibenarkan mengoperasikan peralatan itu.
Dalam pada itu, Aedy Fadly berkata pihaknya turut mengenal pasti sebanyak 288 kawasan hot spot yang mempunyai kadar kemalangan tinggi serta aliran trafik yang sesak di seluruh negara.
“Sepanjang operasi ini juga hampir 3,000 anggota JPJ digerakkan bagi menjalankan penguatkuasaan dan rondaan di jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4








![[VIDEO] ‘Pak cik Rela bukan biasa-biasa’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/pak-cik-Rela.jpeg)







































