OE Young Entrepreneurs Academy raih perintah mahkamah henti fitnah

3 weeks ago 16

BENTONG – OE Young Entrepreneurs Academy memaklumkan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan dakwaan palsu kepada institusi itu serta Pengasas dan Pengerusinya, Datuk Dr. Ch’ng Boon Hue.

Boon Hue berkata, orang ramai diminta tidak terpedaya dan disarankan supaya hanya mendapatkan maklumat yang telah disahkan bagi mengelak daripada menyebarkan dakwaan tidak berasas.

“Kami telah mengambil langkah undang-undang bagi menangani tuduhan palsu itu dan percaya kepada sistem kehakiman serta perundangan negara selain yakin kebenaran akan terbukti.

“Akademi ini akan tetap fokus kepada penyampaian pendidikan korporat berkualiti tinggi dan tidak berminat dalam perdebatan umum yang berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Boon Hue, akademi itu telah beroperasi selama lapan tahun dan telah mendapat pengiktirafan yang signifikan.

Tambahnya, sepanjang tempoh itu, mereka telah memperoleh ulasan lima bintang daripada lebih 10,000 pelajar dan 30,000 pelajar mendapat manfaat daripada program yang ditawarkan.

“Kami menyediakan latihan korporat berdaftar dengan aktiviti kewangan dan operasi diaudit oleh firma perakaunan antarabangsa, Big Four bagi memastikan ketelusan dan pematuhan peraturan,” katanya.

Ujar Boon Hue, tindakan undang-undang diambil untuk melindungi reputasi dan integriti mereka selain menjaga kepentingan pemegang saham serta kakitangannya.

“Kami menggesa orang ramai agar terlibat dalam perbincangan berasaskan fakta dan tidak terpengaruh dengan kenyataan yang bersifat emosi,” katanya.

Jelas Boon Hue, fitnah tersebar apabila terdapat pihak yang menggunakan akaun palsu membuat tuduhan tidak berasas kepada dirinya dan akademi.

“Akademi ini akan terus menegakkan ketelusan dan integriti walaupun berdepan dengan cabaran ketika ini,” katanya.

OE Academy ditubuhkan pada tahun 2016 sebagai institusi utama dalam pendidikan dan latihan korporat di Malaysia dengan misi memperkasakan usahawan dan profesional.

Ia juga disahkan di bawah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia selain bekerjasama dengan Universiti HELP dan Universiti Raffles untuk menawarkan kursus pensijilan praktikal dalam pengurusan perniagaan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |