Najib mohon kebenaran merayu berhubung saman terhadap Tommy Thomas

3 hours ago 4

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan dalam usaha untuk menghidupkan semula saman RM1.9 juta yang difailkan beliau terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Perkara itu disahkan peguam, Yudistra Darma Dorai yang mewakili Najib ketika dihubungi media. Permohonan bagi mendapatkan kebenaran itu ditetapkan untuk pendengaran pada 30 Julai ini.

Dalam prosiding kes sivil, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dan ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh berbuat demikian.

Najib memfailkan saman tersebut antara lain mendakwa Tommy telah bersikap prejudis, telah melakukan misfeasans (gagal melaksanakan tugas dengan betul) dan penyalahgunaan proses dengan niat jahat (malicious process) serta cuai ketika memegang jawatan itu.

Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk menghidupkan semula saman itu selepas mendapati tidak ada salah laku dalam tindakan Tommy kerana beliau tidak mengetuai pendakwaan terhadap Najib dalam empat kes mahkamah terhadapnya.

Mahkamah Rayuan turut mengarahkan Najib untuk membayar kos sebanyak RM12,000.

Menurut notis usul yang difailkan pada 10 Februari lalu, Najib memohon agar dibenarkan untuk merayu berdasarkan beberapa persoalan undang-undang.

Antara persoalan yang ditimbulkan ialah sama ada tort proses berniat dengan jahat patut diperkenalkan sebagai suatu kausa tindakan di bawah undang-undang Malaysia dan sama ada perlakuan seseorang Peguam Negara terhadap seseorang individu sebelum dan selepas didakwa boleh menjurus kepada tort proses dengan berniat jahat.

Menurut saman yang difailkan Najib, beliau mendakwa 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. merupakan sesuatu yang telah lama dirancang oleh Tommy.

Selain itu, bekas Peguam Negara itu didakwa telah menyalahgunakan kuasa bagi memenuhi rancangannya untuk memenjarakan Najib.

Dalam saman yang difailkan pada 22 Oktober 2021, Najib mendakwa Tommy telah bersikap prejudis terhadapnya sebelum beliau didakwa di mahkamah dan telah campur tangan dalam siasatan serta tidak mengkaji kesnya dengan objektif.

Selain itu, bekas Peguam Negara itu didakwa telah menyalahgunakan kuasa bagi memenuhi rancangannya untuk memenjarakan Najib.

Najib antara lain menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi dan kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |