KUALA LUMPUR – Misi memburu kilauan emas pada Sukan Asia tahun ini dan Sukan SEA 2027 di Malaysia menjadi keutamaan Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) apabila Muhammad Naim Al Amin Saharudin kekal sebagai Presiden bagi penggal 2026-2029.
Naim terus diberi kepercayaan menerajui badan induk sukan elektronik negara selepas semua jawatan dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung Tahunan 2025 MESF tidak dipertandingkan.
Keputusan itu sekali gus memberi kesinambungan kepada kepimpinan MESF untuk memastikan persiapan menghadapi dua temasya berkenaan dapat diteruskan tanpa gangguan.
Afiq Fadhli Narawi turut dikekalkan sebagai Timbalan Presiden, manakala Mohamad Khir Md Noor dan Muhammad Faries Faizal Shamsul masing-masing menggalas tugas sebagai Naib Presiden 1 dan Naib Presiden 2.
Naim berkata keputusan mengekalkan barisan kepimpinan sedia ada dibuat dengan mengambil kira agenda lebih besar yang menanti MESF, khususnya persiapan menghadapi dua temasya berkenaan.
“Kita melihat perkara ini bukan soal kepentingan peribadi, tetapi kita mahu perkembangan persatuan terus berada dalam posisi yang baik, maka kita mengambil keputusan untuk tidak mengadakan pertandingan antara kita semua.
“Kita mengambil kira agenda yang lebih besar, iaitu memburu pingat di Sukan Asia pada tahun ini dan juga pada tahun depan kita sebagai tuan rumah Sukan SEA yang akan berlangsung di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata kesinambungan kepimpinan itu akan dimanfaatkan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara kuasa sukan elektronik utama di Asia Tenggara, selain melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.
Katanya, pembangunan sukan elektronik tidak seharusnya tertumpu kepada pemain semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pembentukan ekosistem yang mampu melahirkan jurulatih, pengurus, penganalisis dan tenaga profesional bertaraf antarabangsa.
Dalam pada itu, Dr Zatul Iffah Abu Hasan dan Muhammad Muzakkir Nur Mubin mengisi jawatan Naib Presiden 3 dan Naib Presiden 4 bagi penggal baharu.
Syed Fakrurrozi Syed Agil pula kekal sebagai Setiausaha Agung, manakala Amir Syafiq Abd Rashid meneruskan tugas sebagai Penolong Setiausaha Agung dan Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani sebagai Bendahari. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3














![[VIDEO] ‘Berkali-kali lompat depan rumah, atas kereta, ada yang berdendam ke?’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-23-at-10.44.39-PM.jpeg)





















![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)












