“JEMAAH adalah raja. Jaga dan bimbing mereka dengan penuh amanah. Jangan salah guna duit bayaran sehingga jemaah selamat pulang ke tanah air.”
Itulah pegangan dan kunci kejayaan KRS Travel Sdn. Bhd. sejak lebih 27 tahun lalu untuk kekal dalam industri kembara ke Tanah Suci bagi jemaah umrah dan haji sehingga hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Ssunaibari Mohd. Khalil berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya telah menguruskan lebih 217,000 jemaah dari seluruh Malaysia, menjadikan syarikat antara agensi yang paling dipercayai.
Hanya bermodalkan RM3,000 untuk perjalanan kumpulan pertama jemaah umrah sekitar 1999, kini KRS Travel setaraf dengan agensi pelancongan utama di Malaysia dengan lebih 50 petugas terdiri daripada mutawif bertauliah, pengurusan dan barisan kepimpinan.
KRS Travel turut mempelbagaikan perniagaan untuk menceburi bidang inap desa, ternakan lembu dan kambing, katering serta pengurusan acara untuk memperkukuhkan kewangan syarikat selepas mengalami zaman merudum akibat Covid-19.
KOSMO: Apa yang dimaksudkan dengan nama KRS?
Mohammad Ssunaibari: Ia diambil daripada nama anak saya. K untuk Mohammad Yusoff Khalili, R untuk Ahmad Ridhwan dan S bagi Mohammad Syahir.
Bagaimana KRS Travel ditubuhkan?
Ia bermula selepas saya berhenti kerja di sebuah syarikat travel. Berbekalkan pengalaman dan sedikit modal, saya mula secara kecil-kecilan membawa jemaah. Modal permulaan hanya RM3,000 sebelum berkembang seperti yang ada sekarang.
Mohammad SsunaibariApa antara cabaran yang dihadapi sehingga kini?
Ketika ini pasaran dilihat tidak begitu memberangsangkan dan rata-rata syarikat travel mengalami penyusutan jemaah. Faktor luaran seperti peperangan, ekonomi global, wabak penyakit ekstrem dan sebagainya menjadi punca kepada masalah ini.
Syarikat sebelum ini tidak beroperasi selama dua tahun ketika Covid-19 dan sejak itu kami telah mempelbagaikan perniagaan termasuk katering, inap desa di Kampung Sungai Landak, Seremban, penternakan lembu dan kambing untuk korban dan akikah di Kampung Sungai Machang Ulu, Lenggeng dan pengurusan acara di Sikamat.
Kami juga pernah ditipu sehingga mengakibatkan kerugian besar. Sebahagian duit jemaah hilang. Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus mengorak langkah.
Apa tindakan diambil untuk mengatasi masalah ini?
Kami menyediakan pakej kembara umrah bersama artis, ustaz selebriti dan wakil rakyat Negeri Sembilan bersama pengundi mereka di empat kawasan Dewan Undangan Negeri. Satu kumpulan antara 90 hingga 135 orang.
Promosi mulut ke mulut biasanya lebih berkesan dan akan menghasilkan jemaah berulang. Daripada seorang, mereka akan membawa ahli keluarga pula untuk menunaikan umrah atau haji dengan kami.
Selain di Negeri Sembilan, kami membuka cawangan di seluruh negara seperti di Ampang, Pendang, Bandar Penawar (Johor), Kuching, Gemas, malah di Balikpapan, Kalimantan, Indonesia.
Apa keistimewaan servis KRS Travel?
Kami telah dilantik sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) sejak 2023 oleh Tabung Haji yang membuktikan kemampuan kami mengendalikan jemaah. Kami juga menjadi rakan strategik kepada Malaysia Airlines.
Kami menyediakan pakej mengikut kemampuan jemaah selain bimbingan mutawif berpengalaman di Tanah Suci.
Pakej terendah kami berharga RM5,990 di mana hotel terletak pada jarak 500 meter dari Masjidilharam dan Masjid Nabawi.
KRS Travel juga telah diberi kepercayaan untuk mengendalikan jemaah Bank Muamalat Indonesia (Cawangan Kuala Lumpur), Kejora, Angkasa dan lain-lain.
Apa punca kekuatan KRS?
Memandangkan KRS adalah salah satu daripada syarikat yang mendapat kepercayaan Tabung Haji, saya berharap jemaah akan lebih yakin kepada kami.
Kami sering terima maklum balas positif daripada jemaah mengenai layanan mutawif, penginapan dan makanan. Paling penting doa mereka buat kami selepas merasai perkhidmatan mesra dan cekap yang ditawarkan.
Sedikit kata-kata semangat buat industri?
Rakan industri perlu amanah dan jangan mudah gelap mata. Elakkan suka ‘rolling’ duit kerana ia bukan hak kita selagi jemaah tidak selamat kembali ke tanah air.

7 hours ago
4














![[VIDEO] ‘Berkali-kali lompat depan rumah, atas kereta, ada yang berdendam ke?’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-23-at-10.44.39-PM.jpeg)





















![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)












