ADA ketenangan lahir daripada sebaris ayat yang ditulis dengan cukup indah dan penuh tertib.
Menjelang sambutan Maulidur Rasul, seni khat bakal kembali menghiasi sepanduk dan perarakan pelajar sekolah serta mahasiswa universiti sebagai manifestasi kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Di sebalik setiap tulisan yang dipamerkan, ada tangan dan ‘tulang belakang’ yang tekun mencurah masa, ilmu yang diwariskan serta usaha berterusan dalam memastikan seni Islam itu tidak sekadar menjadi hiasan, sebaliknya terus hidup dalam jiwa generasi muda.
Bagi Dr. Razi Yaakob, 56, setiap lenggok huruf bukan sekadar soal cantik pada pandangan mata, sebaliknya amanah untuk menghidupkan kembali kecintaan terhadap al-Quran, seni Islam dan warisan Melayu.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu yang banyak mencurah ilmu khat kepada generasi muda percaya, dakwah tidak semestinya bergema dari mimbar kerana ada kalanya ia hadir melalui sebatang pena, sebaris ayat dan sebuah sepanduk yang dibawa penuh bangga dalam perarakan.
“Bagi saya, khat bukan hanya seni mencantikkan tulisan. Setiap huruf mempunyai nilai, sejarah dan makna yang sangat dekat dengan al-Quran serta tradisi ilmu Islam.
“Sebab itu, apabila kita mengajar khat kepada generasi muda, kita sebenarnya bukan sekadar mengajar mereka menulis. Kita sedang memperkenalkan satu warisan dan dalam masa sama menanam rasa cinta kepada al-Quran, seni Islam serta identiti kita sendiri.
“Kalau minat itu berjaya dicetuskan sejak kecil, saya percaya mereka akan mencari dan mendalami ilmu tersebut dengan lebih jauh apabila meningkat dewasa,” katanya sebagai mukadimah bersama K-Kampus.
Perjalanan hidup anak kelahiran Besut, Terengganu ini yang begitu erat dengan huruf, kitab dan seni, bermula daripada sebuah khazanah keluarga yang diwarisi sejak ratusan tahun lalu. Dalam keluarganya terdapat sebuah manuskrip al-Quran yang dianggarkan berusia sekitar 300 tahun, malah sejarah manuskrip itu sering diceritakan ibu bapanya sejak kecil.
“Warisan itu perlahan-lahan membentuk hubungan istimewa dalam diri saya terhadap al-Quran, seni khat dan kesenian Islam,” katanya.
Berbicara tentang minatnya terhadap kaligrafi Islam atau khat, ia mula berputik ketika Razi masih berada di tadika apabila setiap kali sebelum guru memasuki kelas, dia sering mengambil kesempatan menulis kalimah Bismillah pada papan hitam atau papan tulis.
Perbuatan kecil yang dilakukan berulang kali itu akhirnya menjadi kebiasaan hingga gurunya sering tertanya-tanya apabila melihat tulisan tersebut sudah tersedia sebelum kelas bermula.
Ketika melanjutkan pengajian di universiti, khususnya dalam kelas Tafsir dan Hadis, Razi sekali lagi sering menulis ayat al-Quran atau teks berkaitan pada papan putih sebelum pensyarah memasuki kelas.
Tanpa disedari, pengalaman tersebut mengukuhkan lagi hubungan antara ilmu wahyu, penulisan khat dan seni Islam dalam dirinya.
Perjalanan mencari ilmu kemudiannya membawa Razi ke Punjab University, Pakistan pada tahun 1996 untuk mengikuti bidang Pengajian Islam.
Selepas kembali ke tanah air, minat terhadap seni Islam terus diperkemas apabila Razi mengikuti pengajian secara formal dalam bidang Kesenian Islam dan Kraf di Yayasan Restu, Shah Alam, Selangor.
Tahun 2007 menjadi antara detik paling manis apabila dia menerima biasiswa tajaan penuh Kerajaan Negeri Terengganu untuk mendalami bidang berkenaan, sekali gus membuka ruang mengasah ilmu dan kemahiran secara lebih tersusun.
Selepas tamat pengajian, dia diberikan kesempatan berkhidmat kepada Kerajaan Negeri Terengganu selama lebih dua tahun sebagai Ketua Unit Motif Al-Quran.
Bagi Razi, peluang itu cukup bermakna kerana dapat menyumbang kembali kepada pihak yang sebelum itu memberikan kepercayaan dan peluang kepadanya.
“Apabila kita menerima bantuan dan kepercayaan daripada orang lain, saya rasa ada tanggungjawab untuk membalasnya dalam bentuk sumbangan.
“Sebab itu pengalaman berkhidmat dengan kerajaan negeri selepas tamat pengajian menjadi sesuatu yang sangat bermakna.
Antara hasil kerja tulisan tangan seni khat yang dihasilkan oleh Razi.“Saya dapat menggunakan ilmu yang diperoleh dan pada masa sama menyumbang kepada negeri sendiri,” ujarnya.
Dalam perjalanan mencari ilmu itu, Razi tidak pernah melupakan insan yang menjadi gurunya. Antara tokoh yang banyak mempengaruhi perkembangan ilmu dan kemahirannya ialah individu dikenali sebagai Ustaz Abdul Baqi dan Arwah Ustaz Yusof.
Daripada tokoh-tokoh itu, dia bukan sahaja mempelajari teknik, malah memahami bahawa khat mempunyai nilai estetika dan kedudukan tersendiri dalam kesenian Islam.
Namun, perjalanan Razi tidak berhenti pada seni. Penglibatan dalam sebuah geran penyelidikan berkaitan kemasyarakatan pada 2009 menjadi titik penting yang mendorongnya menyelami dunia kerja sosial dan pembangunan masyarakat dengan lebih serius.
Dia kemudiannya terlibat dalam pelbagai aktiviti dan organisasi kemasyarakatan, termasuk Jawatankuasa Pencegahan Dadah (JKPD) di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai pengerusi, selain pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Rumah Anak Yatim Darul Hilmi.
Pengalaman turun padang itu memperkenalkan Razi kepada pelbagai permasalahan, keperluan dan aspirasi masyarakat. Dari situ, lahir pula minat untuk menghubungkan ilmu Pengajian Islam dengan pembangunan sosial.
Atas pengalaman tersebut, Razi memilih bidang tanah wakaf sebagai tumpuan pengajian Doktor Falsafah (PhD) khususnya pembangunan model perumahan untuk masyarakat berpendapatan rendah, termasuk golongan B40 di Pulau Pinang.
“Pada satu tahap, saya mula melihat bahawa ilmu Pengajian Islam tidak boleh berhenti pada perbincangan akademik sahaja. Ia perlu diterjemahkan kepada sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Seni, agama, penyelidikan dan kerja kemasyarakatan akhirnya bertemu pada satu perkara yang sama iaitu bagaimana ilmu boleh memberi manfaat kepada manusia,” katanya.
Kini, amanah itu diteruskan di UniSZA sebagai Penasihat Rakan Siswa Yayasan Dakwah (RSY YADIM), selain Penasihat Kelab Khat UniSZA.
Razi juga sering menerima undangan mengendalikan pengajaran dan perkongsian ilmu berkaitan seni khat di maktab perguruan, sekolah menengah serta sekolah rendah di Terengganu.
Dia juga telah dilantik oleh pihak muzium di negeri itu sebagai pakar bidang motif manuskrip al-Quran dari tahun 2025, bahkan turut menyampaikan ilmu falsafah manuskrip al-Quran antara Pattani dan Terengganu di Pattani, Thailand.
Bagi Razi, prinsipnya mudah, selagi diberikan kesempatan dan kemampuan, ilmu yang diperoleh perlu disampaikan khususnya kepada generasi muda.
Bagi Razi, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mencetuskan minat kerana apabila minat sudah tumbuh, seseorang akan terdorong untuk mencari, belajar dan mendalami ilmu secara lebih mandiri.
“Jangan paksa anak-anak untuk terus menjadi pakar. Kita cuma perlu cetuskan minat mereka terlebih dahulu.
“Apabila mereka sudah suka, mereka akan bertanya, mencari dan mahu mencuba. Dari situlah proses pembelajaran sebenar bermula.
“Guru pula perlu menjadi pembimbing dan murabbi, bukan hanya menyampaikan fakta. Kita mahu mereka mengenal warisan sendiri dan faham mengapa warisan itu perlu dipelihara,” katanya.
Ditanya perihal pemilihan jenis khat, Razi memberitahu ia bergantung sepenuhnya kepada medium dan keadaan.
Jika pada kertas, semua jenis khat sesuai, manakala mural di dinding masjid atau sekolah lebih sesuai menggunakan khat Thuluth dan Kufi Murabba.
Berkongsi momen setiap kali menjelang Maulidur Rasul, dia tidak pernah menang tangan untuk turun padang. Suatu ketika dahulu, dia juga aktif sebagai tenaga pengajar penulisan khat, hakim pertandingan khat serta terlibat dalam pelbagai persatuan berkaitan seni di peringkat universiti dan sekolah.
Razi sering menerima jemputan mengendalikan kelas, bengkel dan program khat, selain dilantik sebagai hakim pertandingan. Namun, komitmen sebagai felo dan pensyarah serta penglibatan dalam tugasan dan badan bukan kerajaan di Terengganu kini menyebabkan sebahagian undangan terpaksa ditolak.
Berkongsi ilmu, penghasilan tulisan khat pada sepanduk gergasi pula, Razi berkata, tiada formula ajaib selain perancangan.
Menurut Razi, penghasilan karya perlu dimulakan dengan draf atau lakaran bagi menentukan kedudukan, saiz, susunan dan komposisi tulisan sebelum karya sebenar dihasilkan.
“Kita tidak boleh terus mengambil kain besar dan menulis sesuka hati. Sepanduk yang besar memerlukan perancangan kerana setiap ruang perlu dikira. Kita perlu tentukan kedudukan tulisan, saiz huruf, ruang kosong, warna dan elemen hiasan supaya semuanya seimbang.
“Kalau terlalu banyak elemen, tulisan mungkin hilang keindahannya dan mesej sukar dibaca.
“Bagi saya, ketelitian itu penting kerana sepanduk tersebut akan dibawa dalam perarakan dan dilihat oleh ramai orang. Ia bukan sekadar karya seni tetapi turut membawa mesej agama,” tuturnya.

7 hours ago
4














![[VIDEO] ‘Berkali-kali lompat depan rumah, atas kereta, ada yang berdendam ke?’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-23-at-10.44.39-PM.jpeg)





















![[VIDEO] ‘Rehatlah Nurfisya, kau dah bahagia di tempat tiada air mata’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/0730d2ac-3c53-4ff9-bbf6-fe7478da8c6b.jpeg)












