PETALING JAYA – Jika dahulu bidan kampung cukup popular dalam kalangan masyarakat Melayu untuk membantu dalam penjagaan ibu-ibu berpantang, perubahan gaya hidup telah menukar trend tersebut dan menjadikan kerjaya ini semakin dinilai tinggi, malah mendapat permintaan baik daripada pelanggan di luar negara.
Sektor penjagaan ibu berpantang ini bukan sahaja semakin meluas dalam kalangan pengguna Melayu, tetapi juga bangsa India dan Cina dengan menawarkan perkhidmatan premium di pusat khusus yang menelan belanja ribuan ringgit.
Untuk kembali sihat dan bertenaga selepas mengandung sembilan bulan, ibu-ibu muda masa kini cenderung memperuntukan sejumlah perbelanjaan untuk melantik pramurawat ibu bersalin (Confinement Lady, CL) berdasarkan pelbagai pakej yang tersedia di pasaran.
Salah satu syarikat bumiputera yang terlibat aktif dalam industri ini ialah NR Mothercare sejak 2019, dan ia telah menyaksikan perkembangan menggalakkan sehingga mampu berdiri kukuh dalam suasana persaingan yang semakin sengit.
Pengasas NR Mothercare Confinement, Siti Nornadiah Md. Razi berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya menyaksikan peningkatan tempahan untuk perkhidmatan penjagaan ibu berpantang dan CL sebanyak 60 peratus berbanding 2024.
Pertumbuhan tersebut mencerminkan tahap keyakinan dan kesedaran masyarakat terhadap industri ini.
Lebih membanggakan, syarikat turut mencipta pencapaian tersendiri apabila berjaya memperluaskan perkhidmatan ke peringkat antarabangsa melalui penghantaran tenaga kerja profesional ke destinasi utama termasuk Dubai, Ireland, Brunei, Singapura dan Abu Dhabi.
“Buat masa sekarang, kami memiliki lebih 600 CL di seluruh negara, dan ada juga bertugas di luar negara. Banyak negara yang kami teroka dan terdapat lebih daripada 10 negara membuat tempahan dengan kami,” katanya pada majlis NR Glamz Syawal di sini, baru-baru ini.
Siti NornadiahSiti Nornadiah menjelaskan, misi syarikat adalah untuk membantu wanita, terutamanya ibu tunggal dan kumpulan pendapatan rendah membina kerjaya dalam industri, di samping beroleh pendapatan stabil.
Tambahnya, sebahagian daripada tenaga kerja baharu NR Mothercare terdiri daripada individu yang sedang berusaha membina semula kestabilan ekonomi keluarga, selari dengan aspirasi syarikat untuk menjadi platform pemerkasaan kerjaya yang inklusif dan berimpak.
Syarikat turut memberi keutamaan kepada lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang berkaitan, bagi memastikan kesinambungan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri.
Melalui pendekatan pembangunan bakat yang tersusun, setiap tenaga kerja akan melalui latihan komprehensif merangkumi aspek teknikal, komunikasi, pengurusan emosi serta penjagaan profesional ibu berpantang dan juga bayi.
Usaha tersebut memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal, malah menyokong kesejahteraan emosi secara menyeluruh.
Siti Nornadiah menegaskan bahawa perkhidmatan penjagaan ibu berpantang merupakan satu bidang profesional bernilai tinggi serta memerlukan tahap kemahiran, disiplin dan empati yang baik.
“Kami akan terus komited menjadi platform yang membuka peluang, membina kemahiran dan mengangkat standard profesion penjagaan ibu berpantang ke tahap yang lebih tinggi bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Siti Nornadiah berkata, CL NR Mothercare berumur dalam lingkungan 26 tahun hingga 50 tahun, dengan pengalaman sekurang-kurangnya lima tahun.
Sementara itu, pakej berpantang yang ditawarkan syarikat adalah serendah RM430 sehingga RM13,800, yang mana ia meliputi perkhidmatan menyeluruh bergantung kepada bajet pelanggan.
“Kami lebih memfokuskan kepada kumpulan yang mahu berpantang di rumah,” jelasnya.
Lebih menarik, syarikat turut menawarkan produk runcit seperti set berpantang yang melengkapkan ekosistem industri.

9 hours ago
5
















































