Infinity FC harum nama negara di Indonesia

4 hours ago 3

PETALING JAYA – Pasukan Infinity FC Malaysia mencipta kejayaan membanggakan apabila muncul juara kategori U-12 Plate pada kejohanan bola sepak antarabangsa Garuda International Cup 2026 yang berlangsung di Indonesia.

Kejayaan tersebut menyaksikan Infinity FC mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan yang menghimpunkan pasukan-pasukan bola sepak akar umbi dari pelbagai negara.

Infinity FC dalam kenyataannya memaklumkan, Garuda International Cup 2026 merupakan antara kejohanan pembangunan bola sepak remaja yang mendapat penyertaan antarabangsa, melibatkan 72 pasukan dari 13 negara dan lebih 1,000 pemain muda.

Antara negara yang mengambil bahagian termasuk Indonesia, Malaysia, Jepun, China, Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura, Laos, Kemboja, Brunei, Pakistan dan Sri Lanka.

“Kejohanan ini turut mempertandingkan beberapa kategori umur termasuk U-10, U-12, U-15, U-15 Girls dan U-17, sekali gus menjadi platform kepada pemain muda untuk mendapatkan pengalaman serta menguji kemampuan di peringkat antarabangsa.

“Dalam kategori U-12, Infinity FC berdepan persaingan pasukan-pasukan akademi dan pembangunan bola sepak dari beberapa negara yang mempunyai struktur pembangunan akar umbi yang kompetitif,” katanya.

Terdahulu, lokasi kejohanan itu berlangsung di ASIOP Training Ground dan AYO Arena, Sentul, Kabupaten Bogor, Jawa Barat dari 19 Ogos hingga semalam.

Infinity FC Malaysia terdiri daripada kategori U-12 Boys iaitu pasukan pemain kelahiran sekitar usia 11 dan 12 tahun serta berada dalam Kumpulan C bersama PVF Vietnam, Nahusam FA Indonesia dan ASIOP Merah Indonesia dengan skor final 5-0.

Menurut Infinity FC, pencapaian sebagai juara U-12 Plate dilihat sebagai satu perkembangan positif buat Infinity FC yang berpangkalan di Selangor, khususnya dalam usaha memberikan pendedahan pertandingan antarabangsa kepada pemain-pemain muda Malaysia.

“Lebih bermakna, kejayaan ini turut didedikasikan sebagai hadiah daripada pemain-pemain muda akar umbi buat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, yang bakal diraikan pada 31 Ogos 2026.

“Walaupun hadir sebagai sebuah pasukan pembangunan akar umbi, Infinity FC membawa semangat untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Kejayaan ini menjadi simbol bahawa usaha pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi mampu menghasilkan pencapaian yang membanggakan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, kejayaan Infinity FC di Garuda International Cup 2026 ini juga membuktikan bahawa pemain muda Malaysia mempunyai potensi untuk bersaing dengan pasukan-pasukan dari luar negara apabila diberikan pendedahan, latihan dan peluang pertandingan yang sewajarnya.

“Infinity FC berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam melahirkan generasi pemain muda yang berdisiplin, kompetitif dan mempunyai jati diri, selain terus membawa nama Malaysia ke pentas bola sepak antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |