“Memang ada ‘mencucuk’, sampai mereka tawar hati untuk konsert”

12 hours ago 8

KUALA LUMPUR – Bakal tampil hanya berdua menerusi konsert Nastia Project: Soul Journey, vokalis Nastia, Leo Azman mengakui berlaku salah faham antara dirinya bersama dua anggota lain, Jenk dan Zach Zainal hingga mereka memilih untuk tidak menyertai projek berkenaan.

Menurut Leo, keadaan tersebut bukan bermakna Nastia sudah berpecah, sebaliknya masing-masing mengambil haluan sendiri buat sementara waktu susulan campur tangan pihak ketiga dalam konflik terbabit.

“Kadang-kadang dalam adik-beradik pun mesti ada ketidakfahaman. Bagi saya, perkara itu biasa. Sebenarnya, tidak ada pergaduhan atau maki hamun cuma masing-masing mengambil jalan sendiri buat sementara waktu. Untuk masa depan, tidak tahu bagaimana.

“Untuk konsert ini, kalau boleh saya berharap anggota lain, pemain bass Zack Zainal dan pemain dram Jenk dapat menyertai kami kerana ini konsert besar selepas 2015.

“Mereka sudah tidak bersama kami sejak sebelum hari raya tahun ini. Saya juga sudah memberitahu mereka mengenai konsert ini dan kami memang menjemput mereka. Cuma untuk tarikh berkenaan, kami belum pasti mengenai kelapangan mereka,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tanpa berselindung, Leo mengakui keadaan berkenaan sedikit sebanyak menyebabkan Jenk dan Zach tawar hati untuk menyertai konsert berkenaan, malah mendakwa pihak ketiga tersebut berterusan ‘mencucuk’ mereka.

“Memang ada yang mencucuk, keadaan ini sedikit sebanyak mempengaruhi mereka sehingga tawar hati untuk menyertai konsert ini.

“Pihak ketiga itu bukanlah orang yang terlalu rapat. Kalau hendak dikatakan dekat, boleh juga dikatakan dekat, tetapi orang ini baru berada dalam lingkungan Nastia.

“Dia bukan orang yang sudah lama mengikuti Nastia. Jadi, bagi saya, perkara itu menjadi antara punca mereka berubah hati,” ujarnya pada sidang media konsert mereka, di sini, semalam.

Sementara itu, gitaris Rudy Iskandar berkata, dia sudah berusaha memujuk Jenk dan Zach supaya kembali bersama Nastia, namun mengakui perkara tersebut bukan mudah.

“Saya memang berusaha keras untuk memujuk. Kami masih berhubung, cuma untuk mendapatkan mereka bersama Nastia dalam persembahan kali ini adalah sesuatu yang sangat mencabar.

“Kalau hendak bermain dram, sesiapa sahaja mungkin boleh bermain. Tetapi untuk mengisi tempat Jaeng, kalau bukan Jaeng sendiri, itu satu perkara berbeza.

“Dalam masa sama, kami tetap membuat persiapan sekiranya Jaeng memang tidak dapat menyertai konsert ini. Saya tidak menafikan peminat datang kerana mahu melihat pemain dram atau pemain bass kesayangan mereka. Perkara itu memang benar,” jelasnya.

Untuk rekod, selepas lebih sedekad mewarnai industri muzik tanah air dengan karya dekat di hati peminat, Nastia bakal mencipta satu lagi detik istimewa menerusi konsert eksklusif Nastia Project: Soul Journey pada 16 Oktober 2026 di Zepp Kuala Lumpur.

Konsert berkenaan dijangka menghimpunkan peminat muzik dari seluruh negara menerusi persembahan penuh bertenaga, sarat emosi serta kolaborasi istimewa bersama Fynn Jamal dan Amir Jahari. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |