Tiga termasuk polis ditahan susulan penemuan dadah di lokap

12 hours ago 9

IPOH – Tiga lelaki termasuk seorang polis berpangkat konstabel ditahan susulan rampasan 55 bunjut dadah seberat 362.22 gram (g) di lokap Balai Polis Lumut kira-kira pukul 8.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, penahanan itu dilakukan susulan pemeriksaan yang dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di lokap balai polis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan tersebut, polis telah menahan dua orang lelaki yang merupakan orang kena tuduh (OKT) dan merampas sejumlah dadah disyaki terdiri daripada methamphetamine, heroin dan cannabis seperti.

“Sebanyak 16 bunjut tiub plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 109.54g,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Mohd. Alwi berkata, turut dirampas ialah 16 bunjut tiub plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 110.37g.

Beliau berkata, sebanyak 23 bunjut tiub plastik mengandungi bahan daun-daun kering disyaki dadah jenis cannabis dengan anggaran berat 142.31g turut ditemui.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM18,534. Susulan penemuan tersebut, polis turut menahan seorang anggota polis yang bertugas di balai polis lumut bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga tangkapan mendapati dua orang positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang lagi iaitu polis berkenaan negatif dadah.

“Kesemua tangkapan kini ditahan reman selama tujuh hari mulai 12 Ogos 2026 hingga 18 Ogos 2026. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan dan pengedaran dadah, termasuk sekiranya melibatkan mana-mana pihak yang berada dalam premis atau persekitaran kepolisan,” katanya.

Mohd. Alwi menegaskan siasatan akan dijalankan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |