KUALA LUMPUR – Khabar gembira buat rakyat Malaysia apabila tiket perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2 hingga 4 Oktober depan sudah mula dijual.
Apa yang menarik, rakyat Malaysia yang memiliki MyKad berpeluang mendapatkan pas tiga hari dengan harga istimewa, jauh berbeza jika dibandingkan dengan harga peminat antarabangsa.
Pemegang MyKad boleh membuat pilihan daripada enam kategori tiket ditawarkan dengan Hillstand G yang berharga RM200 merupakan pakej paling murah, manakala peminat antarabangsa perlu membayar antara AS$218.90 (RM895) hingga AS$566.05 (RM2,316).
Rakyat Malaysia yang ingin merasai pengalaman F1 boleh mendapatkan tiket Grandstand Utama berharga RM2,083.40, diikuti Grandstand K1 (RM1,386), Grandstand F (RM1,291.40) Hillstands B dan C (RM809.60) serta Hillstands G (RM200).
Sementara itu, peminat antarabangsa pula ditawarkan tiket Grandstand Utama dengan harga AS$566.05, Grandstand F (AS$376.39), Grandstand K1 (AS$350.13) serta Hillstands B dan C (AS$218.90).
Semua harga tiket termasuk cukai selain menyaksikan pembelian bagi peminat antarabangsa akan diproses dalam mata wang dinar Bahrain berdasarkan pertukaran semasa ketika pembelian dibuat.
Dalam pada itu, kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun layak untuk menerima diskaun 25 peratus kecuali kategori Hillstands G sementara kanak-kanak bawah tiga tahun dapat masuk secara percuma.
Menerusi satu kemaskini dibuat di laman web Litar Antarabangsa Bahrain, mereka berdepan ‘kesesakan’ yang cukup teruk susulan peminat-peminat mula menyerbu laman web berkenaan bagi mendapatkan tiket secara dalam talian.
“Kami menerima permintaan yang cukup tinggi untuk tiket perlumbaan GP Bahrain di Malaysia. Kami sedang bekerja keras untuk melancarkan urusan pengguna dan sila ikuti kemaskini di media sosial kami,” katanya.
Perlumbaan GP Bahrain akan menyaksikan deruman enjin F1 kembali menggegarkan Sepang selepas kali terakhir perlumbaan jentera empat roda itu diadakan di Malaysia adalah pada edisi 2017. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2


![[VIDEO] ‘Tak sangka mi goreng dan cekodok boleh ‘seviral’ ini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-13-at-19.53.42.jpeg)













































