SUBANG JAYA – Pasukan penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang dihantar ke Jakarta diberi akses oleh pihak berkuasa Indonesia untuk menyoal siasat juruterbang Malaysia yang ditahan kerana disyaki menyeludup dadah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak berkuasa Indonesia memberi kebenaran kepada pasukan penyiasat terbabit untuk menemui dan menemu bual lelaki berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima taklimat awal daripada Pengarah JSJN Bukit Aman, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berhubung perkara itu.
“Sejak awal lagi, penyiasat kita diberikan akses oleh pihak berkuasa Indonesia untuk menemu bual subjek terbabit. Proses itu masih berjalan dan kita perlu memberi ruang kepada mereka untuk menyelesaikan tugas terlebih dahulu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Helikopter A189 di Stesen Udara Maritim Subang, hari ini.
Saifuddin berkata, perkembangan terbaharu hasil sesi temu bual berkenaan akan dikongsikan kepada media kemudian.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rancangan untuk mempertingkatkan kawalan keselamatan di lapangan terbang juga akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu hadapan.
Menurutnya, beliau telah menerima taklimat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri serta pasukan yang menyelaras perkara itu membabitkan pelbagai agensi.
“Saya memberi mereka tempoh dua minggu bermula minggu lalu untuk mengkaji perkara ini. Saya akan meneliti perkara itu terlebih dahulu dan jika tiada perubahan, saya akan membentangkannya dalam mesyuarat Kabinet akan datang bersama Menteri Pengangkutan,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang juruterbang tempatan berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram (kg) dadah jenis ekstasi bersama sejumlah kecil syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, dua minggu lalu.- KOSMO! ONLINE

8 hours ago
8


![[VIDEO] ‘Tak sangka mi goreng dan cekodok boleh ‘seviral’ ini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-13-at-19.53.42.jpeg)













































