SEPANG – Taktik menyeludup 12.6 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.01 juta dengan menyembunyikannya di dalam kotak permainan kanak-kanak terbongkar selepas dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Cawangan Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG Tuah berkata, rampasan tersebut dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA pada 13 Julai lalu.
“Empat bungkusan kotak telah dirampas dan pemeriksaan menemui bungkusan plastik lutsinar kedap udara mengandungi 12.675 kg bunga ganja bernilai RM1.01 juta yang disorokkan dalam kotak permainan kanak-kanak. Siasatan awal mendapati bungkusan itu dipercayai hendak dieksport ke salah sebuah negara Eropah menggunakan perkhidmatan kargo.
“Semakan mendapati nombor telefon di paparan kotak gagal dihubungi selain alamat pengirim serta penerima adalah palsu,” katanya menerusi sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo KLIA di sini hari ini.
Menurut Aspalila, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dari mana bahan terlarang itu diperoleh, selain mengesan individu terlibat.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Aspalila berkata, pemeriksaan terhadap dua bagasi yang ditinggalkan di Pejabat Lost & Found, Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 1 KLIA selama sebulan pada 14 Julai lalu turut membongkar kandungan dadah jenis bunga ganja bernilai RM3.82 juta.
Beliau berkata, semakan mendapati kedua-dua bagasi berkenaan sepatutnya dibawa menaiki penerbangan ke Langkawi, namun ditinggalkan penumpang terbabit.
“Imbasan bagasi kemudian telah dilakukan dan mengesan imej mencurigakan sebelum pemeriksaan rapi dibuat. Pemeriksaan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menemui plastik kedap udara mengandungi bunga ganja seberat 47.8 kg,” ujarnya.
Katanya lagi, kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

8 hours ago
8


![[VIDEO] ‘Tak sangka mi goreng dan cekodok boleh ‘seviral’ ini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-13-at-19.53.42.jpeg)













































