Himpunan 1,156 pesilat diiktiraf MBOR

5 hours ago 2

BATU PAHAT – Himpunan 1,156 orang pesilat daripada pelbagai pertubuhan dalam satu pentas besar di Stadium Batu Pahat bagi menjayakan Persembahan Jurus Silat Batu Pahat Terbesar, mencipta sejarah tersendiri apabila diiktiraf dalam The Malaysia Book of Records (MBOR).

Persembahan yang menghimpunkan pesilat daripada 16 perguruan silat termasuk penyertaan dari luar Johor dalam satu persembahan jurus yang seragam tersusun dan dipersembahkan secara serentak itu bukan sekadar mengenai mencatat rekod namun membawa mesej besar dalam menyatukan masyarakat serta mengangkat seni silat sebagai warisan budaya Melayu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Mohd Nazid Jasiman berkata, persiapan bagi menjayakan persembahan bersejarah ini telah dilakukan sejak kira-kira tiga bulan lalu, menerusi latihan berperingkat di gelanggang masing-masing sebelum latihan penyelarasan secara berkumpulan dilaksanakan.

Katanya, kejayaan ini merupakan hasil kerjasama Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Tourism Batu Pahat, Pertubuhan Inspirasi Tradisi Malaysia (PITRA), Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Suloh, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, 16 perguruan silat serta seluruh jabatan MPBP yang berganding bahu memastikan persembahan bersejarah itu dapat direalisasikan.

Jelasnya, program Jurus Silat Batu Pahat Terbesar ni adalah sebagai “buah tangan MPBP dalam membina sahsiah anak bangsa khususnya dalam membentuk generasi muda yang mengenali, menghargai dan mempertahankan warisan budaya sendiri.

“Jurus Silat Batu Pahat Terbesar ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi simbol perpaduan, disiplin, adab dan kecintaan kita terhadap warisan seni silat Melayu.

“Program sempena Karnival ke 25 Tahun Majlis Perbandaran Batu Pahat turut menawarkan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga, termasuk Persembahan Tambo ATM, pameran aset ATM, Bomba dan Polis, persembahan kebudayaan serta pelbagai program komuniti,”katanya melalui kenyataan kepada Kosmo! hari ini.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |