PETALING JAYA – “Saya tak ambil hati, biasa saja. Tak terganggu emosi.”
Demikian kata Muhammad Amrullah berhubung kecaman yang diterima selepas memuat naik video sedang makan mi goreng dibekalkan ibunya berserta kapsyen hasratnya bertemu bakal isteri yang boleh menyediakan bekal kepadanya.
Pemuda berusia 30-an itu berkata, hantaran tersebut dibuat sekadar suka-suka, namun tidak menyangka ia tular sehingga mendapat pelbagai respons daripada pengguna Threads sehinggalah ke platform media sosial yang lain.
“Saya upload (muat naik) sekadar suka-suka. Pagi tu mak saya bekal mi goreng, saja record (rakam) nak kongsi. Cuma kapsyen saya tu mungkin trigger (pencetus) sesetengah orang perempuan.
“Tiba-tiba kena kecam, eh kenapa pula macam ni. Padahal cekodok tu benda simple (mudah) saja. Saya tak kisah bab makan. Lagipun mak saya selalu masakkan sarapan.
“Kalau ada… ada, kalau tak ada pun okey. Sebab saya pun boleh sediakan sarapan sendiri, contoh telur lima biji separuh masak. Tapi kalau mak saya bekalkan, saya bawa lah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Muhammad Amrullah yang juga penjawat awam berkata, dia tidak memberikan sebarang maklum balas setiap komen diterima dan hanya membacanya serta mengambil pendekatan berdiam diri.
“Yang kecam itu, saya tengok profil seorang-seorang tak ada gambar. Saya tak kisah, biarlah. Dengan kecaman pun saya tak luak, lagi seronok baca komen mereka. Ada yang tak setuju cakap saya manchild (lelaki dewasa berkelakuan seperti kanak-kanak), anak mak.
“Saya tak balas, diam dan tengok saja. Jadi silent reader (pembaca senyap). Saya tak ambil hati, okey je. Orang kata diam lebih baik, jadi saya pilih diam. Kalau layan, makin meleret-leret,” katanya.
Pemuda itu berkata, dia juga menerima pelbagai komen positif terutama daripada golongan wanita dan ibu bekerja yang gembira menyediakan bekalan untuk suaminya di tempat kerja.
“Saya tengok ada komen menarik, lelaki ini kongsi isteri dia masakkan untuk bekal di tempat kerja. Ada itu suami isteri bekerja, walaupun bekerja boleh sediakan bekal untuk suami.
“Saya rasa okey lah kan, jadi saya pun nak macam ni. Kawan di tempat kerja pun, ada yang menyediakan bekal juga (untuk pasangan),” katanya.
Muhammad Amrullah berkata, dia menerima mesej pada aplikasi WhatsApp daripada kawan-kawan berhubung hantarannya pada Threads yang tular ketika ini.
“Semalam tak ada, hari ini tiba-tiba WhatsApp daripada kawan-kawan. Saya pun dah penat menjawab sebab hantaran tu pun dah satu juta lebih view (tontonan). Mestilah mereka tahu.
“Kawan cakap, ‘ni sebab kau lah ni, penuh dengan cekodok’. Saya pun ketawa saja, semua post (hantaran) kat media sosial termasuk Facebook pun penuh cekodok mereka cakap,” katanya.
Sementara itu, dia berkata, tidak serik untuk menggunakan Threads, tetapi buat masa ini mahu berdiam dahulu serta tidak memuat naik sebarang hantaran pada akaunnya.
“Nak kata serik, tak ada okey saja. Cuma sekarang tak nak post apa-apa lah, nak diam dulu. Seronok bila kat Threads ni, yang sana post pasal masakan lah, artis pun post, troll (provokasi) pun ada, saya baca seronok.
“Tak sangka mi goreng dan cekodok boleh ‘seviral’ ini, saya sekadar random suka-suka. Kat Threads pun orang kan random, macam seronok saja. Sejam pertama tu, (komen) ok je. Ada juga yang tinggalkan komen, rezeki dapat bekal daripada mak sebab masa arwah mak dia ada, dia bekalkan makanan,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Amrullah memuat naik video menikmati sarapan mi goreng dibekalkan ibunya berserta kapsyen, ‘Mak bekalkan mi goreng pagi ni. To my future wife (untuk bakal isteri), please (tolong) bekalkan saya breakfast (sarapan) setiap hari. Cekodok pun saya ok’.
Sehingga kini video itu mendapat lebih 2.4 juta tontonan, lebih 44,000 likes (tanda suka) serta lebih 12,000 komen daripada pengguna Threads. – KOSMO! ONLINE

4 hours ago
2
















































