IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berhasrat membuka pasaran-pasaran baharu di Eropah bagi mendepani cabaran ekonomi yang melanda dunia ketika ini.
Beliau berkata, cabaran terbaharu dalam bentuk pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump itu didepani Malaysia serta beberapa negara lain menerusi pemerkasaan keupayaan domestik masing-masing.
Beliau berkata, kerajaan menerusi perbincangan dengan pemimpin-pemimpin ASEAN dan baru-baru ini Presiden China, Xi Jinping mencapai persetujuan berkaitan perkara berkenaan.
Bahkan, beliau berkata, Presiden Maldives, Kosovo dan Pakistan yang akan mengunjungi Malaysia dalam masa terdekat akan mengadakan rundingan bagi mendepani cabaran dihadapi berkenaan.
“Kita bersepakat bahawa yang pertama, yang paling penting ialah membina keupayaan dalaman domestik kita.
“Membina keyakinan rakyat bahawa kita mampu berdikari, mampu membangun dengan kekuatan kita dan jaringan yang bertambah di ASEAN, di rantau Asia dengan China, dengan India, Australia, Jepun, Korea dan membuka pasaran-pasaran baru di Eropah. Sekarang kita kian rapat dengan Brazil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penambahbaikan dan Penaiktarafan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau kelmarin berbincang secara dalam talian dengan pihak seperti Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres, Presiden Brazil serta Presiden Turkiye mengenai kaedah untuk mengembangkan pasaran masing-masing.
Selain itu, beliau berkata, turut dibincangkan adalah bagaimana mereka dapat meningkatkan pelancongan dalaman, yang mana antara hujah penting dalam ASEAN adalah bagaimana untuk mempertingkatkan pelancongan intra-ASEAN.
“Sebab itu kita bersaing dengan kemudahan dan prasarana lebih baik, dan tahap kecekapan semua pegawai,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, penaiktarafan LTSAS oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkenaan akan membantu dalam pelbagai perkara seperti perdagangan, perusahaan dan pelancongan di Ipoh.
“Saya ucap terima kasih kerana kalau dulu apabila kita nak besarkan lapangan terbang Ipoh, ia tergendala kerana kita rasa pesawat dari Kuala Lumpur ke Ipoh itu tidak banyak.
“Orang kadang-kadang pilih untuk gunakan kenderaan biasa tetapi sekarang ini kita fikir lebih luas, dari Senai, dari Singapura dan mungkin diperluaskan di rantau dan di kawasan-kawasan lain seperti Kota Kinabalu dan Kuching umpamanya. Ini akan berikan tarikan yang tersendiri untuk lapangan terbang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, skop penaik tarafan yang telah dilakukan di LTSAS termasuk perluasan terminal dan penambahbaikan kawasan daftar masuk dan ketibaan.
Selain itu, ujarnya, adalah fasiliti imigresen yang lebih efisien, serta peningkatan infrastruktur keselamatan seperti televisyen litar tertutup (CCTV) dan mesin pengimbas.
“Bangunan terminal yang kini lebih luas mampu menampung sehingga 700,000 penumpang setahun dengan fasiliti yang lebih efisien dan selesa,” katanya.
LTSAS kini mengendalikan penerbangan harian ke Johor Bahru menerusi AirAsia dan ke Singapura oleh Scoot. – KOSMO! ONLINE