IPOH – Malaysia terus menunjukkan komitmen kemanusiaan apabila menghantar 30 kontena bantuan menerusi Misi Bantuan Kecemasan ke Gaza serta Global Sumud Flotilla 2.0 yang dijadual berlepas esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun Malaysia turut berdepan tekanan susulan krisis di Asia Barat, usaha menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin tetap diteruskan.
“Rakyat di Gaza masih susah, orang di sana kebuluran. Namun, dalam keadaan kita susah, kita cuba membantu orang yang lebih susah daripada kita. Ini semangat yang harus kita ada.
“Sebab itu saya setuju apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengetuai delegasi Malaysia dalam misi bantuan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra Madani Taman Perpaduan Koperasi Tambun bersama Perdana Menteri di Padang Taman Perpaduan Koperasi 2, Tambun, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Menurut Anwar, beliau sudah menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi meminta sokongan negara itu bagi membuka laluan di sempadan Rafah untuk misi bantuan memasuki Gaza.
“Ada orang main (sindir) Anwar telefon tapi kalau tak hubungi (Presiden Mesir), misi bantuan tidak boleh melepasi sempadan Rafah. Jadi, saya kenalah telefon beliau.
“Beliau menganggap kita sahabat jadi saya menyatakan kepadanya, minta tolong buka laluan kerana ada 30 kontena membawa barang makanan dan ubat-ubatan untuk dibawa ke Gaza,” katanya.
Dalam pada itu beliau menegaskan, Malaysia komited menjalin hubungan baik dengan semua pihak tanpa sebarang tekanan serta berhak menentukan dasar sendiri sebagai sebuah negara merdeka.
Katanya, walaupun Malaysia bukan sebuah negara besar, negara ini tetap bersyukur kerana mampu berperanan penting di pentas antarabangsa.
“Walaupun negara ini bukanlah negara besar, tapi kita bersyukur kerana semua negara Arab telah saya beritahu dan semua negara Teluk yang terlibat pun telah hubungi kita termasuk Presiden Iran,” katanya.
Tegas beliau, hubungan baik Malaysia dengan Iran memberikan faedah untuk negara apabila kapal minyak Malaysia dibenarkan melalui Selat Hormuz.
“Kita kena berkawan dengan semua. Kita tak tunggu Amerika Syarikat (AS) setuju atau tidak. Malaysia adalah negara yang bebas dan merdeka. Kita berhak putuskan dasar kita sendiri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
6

















































