PONTIAN – Lapan pemilik rumah di Kampung Simpang Kiri, Mukim Sungai Karang di sini menuntut ganti rugi daripada pihak bertanggungjawab selepas mendakwa kediaman mereka retak dan rosak akibat daripada gegaran konvoi lori yang membawa sisa bahan binaan dari Singapura sejak dua tahun lalu.
Mereka mendakwa, walaupun isu sisa itu telah selesai selepas campur tangan kerajaan negeri, mereka perlu mengeluarkan kos untuk membaiki kerosakan tersebut sekali gus terpaksa menanggung kerugian teruk walaupun bukan salah sendiri.
Seorang mangsa, Wahab Wahid, 58, berkata, dia telah membelanjakan lebih RM7,000 untuk membaiki keretakan di bahagian luar rumah, bilik, ruang tamu dan tandas.
Katanya, dia bersama tujuh pemilik rumah di situ juga tidak dapat tidur malam setiap kali konvoi lori melalui jalan itu kerana gegaran kuat dapat dirasai di dalam rumah mereka yang terletak kira-kira 50 meter dari Jalan Pekan Nanas-Tanjung Piai.
“Kami lega selepas kerajaan negeri arah aktiviti penambakan tanah menggunakan sisa bahan binaan itu dihentikan, namun kami mahu pihak bertanggungjawab membayar ganti rugi terhadap kerosakan yang dialami.
“Kami memang risau setiap kali lori-lori ini melalui jalan di hadapan rumah. Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Permas Kukup supaya pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.
Wahab (tengah) dan empat lagi pemilik rumah menunjukkan laporan polis yang dibuat bersama bukti gambar rumah mereka yang retak ketika ditemui di Kampung Simpang Kiri, Sungai Karang, Pontian semalam.Sebelum ini Kosmo! melaporkan konvoi lori yang membawa sisa binaan dari Singapura untuk dibuang di daerah ini sejak dua tahun lalu bukan sahaja membahayakan nyawa, malah menyebabkan rumah penduduk retak selain mengundang kemalangan kepada pengguna jalan terutama penunggang motosikal.
Pergerakan dan kerja-kerja memunggah didakwa bermula pada waktu malam hingga awal pagi melibatkan beberapa kawasan termasuk Parit Sikom, Batu 26 Jeram Batu-Pengkalan Raja, Kampung Parit Rambai, Kampung Sungai Dinar dan Mukim Sungai Karang.
Abd. Rahim Halim, 59, pula mendakwa, hampir keseluruhan rumahnya mengalami keretakan dan tidak tahu pada siapa hendak mengadu sama ada pejabat daerah, wakil rakyat atau pemilik tapak tanah.
“Kami hanya mahu masalah ini diselesaikan selepas dua tahun gelisah. Kalau boleh, biarlah kerja penambakan ini dihentikan sepenuhnya supaya kami boleh hidup dengan tenang,” katanya.
Menurut Abd. Rahim, dia pernah terfikir untuk berpindah tetapi hanya rumah warisan itu yang dia ada.
“Ini kampung kami tetapi kami pula terpaksa berdepan dengan masalah yang tiada penghujung,” katanya.
Ibu tunggal, Sharifah Buyani, 65, turut buntu memikirkan keadaan rumah yang didiami bersama empat ahli keluarganya.
“Gegaran itu sampai kami takut bila berada dalam rumah dan was-was hendak ke tandas, bimbang runtuh,” katanya.
Hussin Sikaka, 60, mendakwa, aktiviti penambakan tanah berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Simpang Kiri turut menyebabkan permukaan tanah di kawasan berkenaan kelihatan semakin ‘terangkat’.
Katanya, kerja-kerja penambakan turut menyebabkan aliran anak sungai tertutup selepas tertimbus, sekali gus dikhuatiri meningkatkan risiko banjir.
“Mereka (pemilik tanah) mungkin mengaut untung tetapi penduduk tanggung risiko. Harap tindakan tegas diambil supaya keselamatan penduduk tidak terus terjejas,” katanya.

12 hours ago
8


![[VIDEO] ‘Tak sangka mi goreng dan cekodok boleh ‘seviral’ ini’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-13-at-19.53.42.jpeg)













































