Lelaki dilibas pisau gara-gara paip air

16 hours ago 6

YAN – Gara-gara berselisih faham berkaitan paip air, seorang lelaki cedera pada tangan akibat dilibas menggunakan pisau oleh kenalannya dalam satu pertengkaran di tepi Jalan Singkir Badong, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, motosikal jenis Honda milik mangsa juga dipercayai dibakar suspek.

Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah berkata, mangsa berusia 34 tahun mendakwa diserang suspek lelaki berusia 41 tahun kira-kira pukul 7 malam.

“Mangsa dikatakan diserang ketika dia sedang menunggang motosikal. Selepas itu berlaku pergelutan dan mangsa mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan akibat dilibas sebilah pisau oleh suspek.

“Dia sempat menyelamatkan diri dan meninggalkan motosikal di tempat kejadian. Mangsa melihat suspek bertindak mencabut paip petrol motosikalnya dan terus membakar motosikal tersebut,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, mangsa seterusnya membuat laporan polis sebelum mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Yan malam tadi.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 8 malam hari sama di rumahnya di sini dan bertindak merampas pisau yang digunakan untuk menyerang mangsa.

“Motif kejadian dikatakan suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa memperbaiki saliran paip air yang mana suspek dipercayai merosakkan paip tersebut serta mengambil air tanpa kebenaran mangsa.

“Suspek kemudian bertindak menyerang mangsa menggunakan sebilah pisau dan membakar motosikal jenis Honda milik mangsa,” ujarnya.

Ia melibatkan saliran paip air bukit yang dibina hasil daripada kutipan wang penduduk kampung.

Difahamkan, suspek juga dikatakan berang kerana mangsa sering menuduhnya merosakkan paip berkenaan serta tidak membenarkannya mengambil air di situ.

Tambahnya, suspek yang didapati positif dadah mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dengan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 324 dan 435 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |