Laluan Olimpik makin getir, Aniq sedia berikan terbaik

18 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan mengakui laluan memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA2028) kini semakin mencabar berikutan pengenalan peraturan baharu kelayakan yang menuntut tahap konsistensi lebih tinggi daripada setiap atlet.

Atlet kelahiran Segamat, Johor itu menegaskan, mereka kini diwajibkan menyertai lima kejohanan utama, di mana jumlah keseluruhan angkatan daripada setiap saingan akan dikira sebelum senarai akhir 10 terbaik dunia ditentukan.

Menurut pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham itu, format baharu tersebut tidak memberi ruang untuk atlet berasa selesa meskipun sudah memenangi pingat dalam kejohanan awal yang juga merupakan kejohanan kelayakan Sukan Olimpik.

“Bagi saya, cabaran kali ini lebih sengit. Kita perlu mengekalkan prestasi dalam setiap kejohanan. Jika angkatan menurun sekalipun, mungkin hanya satu atau dua kilogram sahaja yang dibenarkan.

“Kita tidak boleh gagal dalam mana-mana angkatan kerana pada penghujung tempoh kelayakan, mereka akan mengira jumlah keseluruhan kilogram yang diangkat untuk menentukan siapa yang layak ke Olimpik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Aniq yang kini bersaing dalam kategori 60 kilogram (kg) mengakui dia akan memberikan aksi terbaik dalam setiap kejohanan selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang menjejaskan prestasinya pada Sukan SEA Thailand, Disember tahun lalu.

“Sekarang saya sudah pulih sepenuhnya dan tiada lagi rasa sakit. Saya sudah bersedia untuk kembali ke pentas pertandingan. Sasaran terdekat adalah Kejohanan Asia di India pada April ini.

“Walaupun saya sudah layak secara automatik ke Sukan Komanwel, kejohanan di India tetap penting untuk saya mencari semula rentak pertandingan dan mengumpul mata ranking Olimpik supaya kedudukan saya tidak dipintas atlet lain,” ujarnya.

Untuk rekod, Aniq mempersembahkan aksi terbaik di Sukan Olimpik Paris apabila hampir menaiki podium namun hanya dibezakan satu kilogram dengan pemenang gangsa dalam kategori 61 kilogram.

Aniq terpaksa berpuas hati mengakhiri penampilan sulung di Olimpik dengan menduduki tangga keempat dengan jumlah angkatan keseluruhan 297kg, manakala atlet Amerika Syarikat, Hampton Morris di tempat ketiga dengan 298kg.

Atlet China, Li Fabin mempertahankan emas yang dimenangi di Tokyo dengan angkatan keseluruhan 310kg dan Theerapong Silachai dari Thailand meraih perak dengan angkatan 303kg. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |