Krisis air, makanan dunia semakin genting – Mohamad

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Dunia bakal berdepan cabaran kritikal melibatkan air dan makanan apabila populasi global dijangka mencecah 9.7 bilion orang menjelang tahun 2050.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi menampung keperluan populasi itu, pengeluaran makanan perlu ditingkatkan sekurang-kurangnya 50 peratus.

Katanya, kini lebih 2.4 bilion manusia sudah pun hidup dalam keadaan tekanan air.

“Pertanian menggunakan kira-kira 70 peratus sumber air tawar dunia, namun perubahan iklim mengancam bekalan dan tahap kebolehpercayaannya.

“Menjelang 2030, permintaan global terhadap air dijangka melebihi bekalan sebanyak 40 peratus jika trend semasa berterusan,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4) dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76 (IEC) di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, dalam situasi genting itu, sistem pengairan tidak boleh dianggap ketinggalan zaman, sebaliknya merupakan nadi kepada masa depan pertanian dan keterjaminan makanan global.

Menurut Mohamad, hanya 20 peratus tanah pertanian dunia menggunakan pengairan, namun ia menyumbang 40 peratus pengeluaran makanan dunia.

“Air bukan sahaja asas kehidupan, malah asas keselamatan, kemakmuran dan keamanan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa pengairan perlu dilihat sebagai infrastruktur strategik, yang bukan sahaja penting untuk kelangsungan masa depan tetapi juga mustahak dalam membina ketahanan sektor pertanian.

Dalam konteks ASEAN, katanya, keterjaminan makanan adalah nasib bersama memandangkan rantau ini mempunyai populasi lebih 600 juta orang.

“Rantau ini berdepan peningkatan permintaan makanan, cabaran air di lembangan Mekong dan Chao Phraya serta ancaman kejutan iklim.

“Namun, ASEAN juga mempunyai potensi besar dengan hampir 90 juta hektar tanah diairi yang sebahagiannya boleh dimodenkan untuk kecekapan.

“Malaysia percaya ASEAN perlu memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam pengurusan air, melabur dalam penyelidikan bersama dan menyeragamkan piawaian dalam pengairan pintar iklim,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa pengairan memainkan peranan penting dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu Sifar Kelaparan (SDG 2), Air Bersih dan Sanitasi (SDG 6) serta Tindakan Iklim (SDG 13).

“Malaysia bersedia bekerjasama dengan FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian), Bank Dunia dan ICID (Suruhanjaya Antarabangsa Bagi Pengairan dan Saliran) bagi memastikan pengairan diiktiraf sebagai infrastruktur kritikal untuk keamanan, kemakmuran dan daya tahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |