KPDN periksa ketulenan emas 10 premis di Jalan Masjid India

3 hours ago 1

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan pemeriksaan ketulenan logam berharga melibatkan 10 premis jualan emas di sekitar Jalan Masjid India, di sini hari ini.

Pemeriksaan itu dijalankan oleh KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan Putrajaya.

Pengarah KPDN WPKL Mohd. Sabri Seman berkata, sepanjang pemeriksaan, sebanyak tiga hingga enam enam sampel logam berharga telah dipilih secara rawak daripada setiap premis untuk diuji menggunakan alat X-Ray Fluorescence (XRF) bagi tujuan pengesahan standard ketulenan.
“Hasil pengujian menunjukkan bahawa kesemua sampel logam berharga yang diuji mematuhi ketulenan seperti yang ditandakan, dengan peratusan komposisi sebenar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, semakan terhadap alat penimbang di setiap premis mendapati kesemuanya masih berada dalam tempoh sah penentusahan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas resit jualan turut mendapati bahawa setiap resit mengandungi kesemua 10 perkara wajib seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Artikel-Artikel Yang Diperbuat Daripada Logam Berharga) 1994.

“Ini termasuk nama dan alamat penuh pembekal, tarikh pembelian, nama dan jenis artikel, standard ketulenan artikel, harga logam berharga bagi setiap satu gram, kos pembuatan (jika ada), tandatangan jurujual.

“Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730],” ujarnya.

Tambahnya, KPDN akan terus komited dalam memastikan pematuhan undang-undang berkaitan perdagangan logam berharga dilaksanakan secara konsisten demi melindungi hak pengguna dan memastikan intergriti industri terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |