‘Korset ‘trademark’ saya, boleh perincikan bahagian mana tak sopan?’

10 hours ago 6

PETALING JAYA – Dikritik menggayakan korset, penyanyi Aisha Retno menyambut baik teguran tersebut namun dalam masa sama mempunyai pendirian teguh terhadap identiti fesyen yang dibawa sejak awal kemunculan dalam industri seni.

Enggan melatah, Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Syed Sipulijam, 26, memaklumkan gaya berpakaian tersebut bukanlah sengaja dicipta untuk mencetuskan kontroversi, sebaliknya sebahagian daripada imej seninya.

“Tenang, saya dengar dan faham malah saya akan cuba perbaiki mengikut citarasa fesyen yang anda cadangkan pada masa hadapan.

“Namun, jika diberi ruang untuk saya menjelaskan gaya pemakaian ini sebenarnya menjadi ‘trademark’ (tanda dagang) saya sejak awal penglibatan dalam industri lagi.

“Walaupun ada yang menganggap melanggar norma atau peraturan biasa, saya rasa tidak salah untuk saya menjelaskan mengapa saya memilih imej sebegini dalam setiap acara,” katanya dalam Threads.

Pelantun lagu Sutera itu juga menyeru pihak yang melabelkan penampilannya sebagai tidak menghormati majlis agar memberikan penjelasan yang lebih terperinci sebelum membuat sebarang spekulasi negatif.

“Jika ada yang melabel sebagai tidak menghormati majlis, mungkin anda boleh bantu saya perincikan bahagian mana yang dianggap tak sopan?

“Lagipun, seperti yang anda sedia maklum, lagu ini berteraskan elemen Portugis dan Joget Melaka,” ujarnya lagi.

Kenyataan tersebut disuarakan selepas seorang netizen tidak berpuas hati dengan cara pemakaian Aisha yang dianggap tidak menghormati kesantunan pakaian tradisional.

“Lagu sedap dah, memang berbakat menyanyi dan buat lagu tapi korset di luar kebaya sangat buruk. Pakaian lain bolehlah nak bereksperimen.

“Tapi bila pakaian tradisonal lebih baik kekalkan ciri tradisonal sebagai tanda menghormati juga.

“Mencuba sehabis baik nak nampak ‘fashionable’ tapi akhirnya nampak macam baju projek untuk budak-budak Akademi Fantasia,” tulisnya.

Komen tersebut merujuk kepada cara pemakaian Aisha menerusi video klip lagu raya terbaharunya, Jodoh Lebaran yang kinimencecah 2.5 juta penonton dalam YouTube. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |