Kontraktor didakwa kemuka dokumen palsu, baiki jalan ladang di Tangkak

1 day ago 8

JOHOR BAHRU – Seorang kontraktor dihadapkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu terhadap Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Tangkak, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Safri Ibrahim, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai ejen sebuah syarikat dengan niat untuk mengelirukan prinsipal kamu dengan mengemukakan penyata bank bagi Disember 2021 sehingga Februari 2022 atas nama syarikat terbabit sebagai dorongan bagi mendapatkan kerja-kerja membaik pulih jalan ladang di Jalan Parit Timin, Kampung Paya Kepong, Tangkak, yang mempunyai butiran matan palsu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Tangkak antara 7 Mac hingga 13 Mei 2022 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) Akta yang sama.

Di kamar yang sama, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan dengan curangnya menggunakan satu dokumen tulen iaitu penyata bank atas nama syarikat yang sama yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Bagi pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa mengikut seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin manakala tertuduh diwakili oleh peguam B. Puvarasan.

Hakim Ahmad Kamal Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke Ibu Pejabat SPRM Johor sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 22 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |