‘Komen netizen bantu saya ingat Tuhan’

3 hours ago 4

SHAH ALAM – Peserta program Talk To My Manager (TTMM), Ina Naim berlapang dada menerima segala komen dan kritikan netizen yang mendakwa sikapnya yang lebih sudu daripada kuah atau ‘over’ sebagai ‘manager’ kepada anaknya, Hadie.

Menurut Ina atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim, 41, dia mengambil positif segala komen yang diberikan netizen terhadapnya.

“Saya akui memang salah saya dan keluar daripada mulut saya sendiri.

“Sebenarnya netizen-netizen membantu saya supaya saya ingat Tuhan. Maksudnya supaya tidak berlebihan,” katanya ketika ditemui selepas tamat konsert minggu ketiga, di sini, malam tadi.

Ina juga menafikan dakwaan netizen kononnya sikapnya berubah selepas kematian suami iaitu Allahyarham Suhaimi Saad.

“Tiada apa yang berubah. Cuma sejak arwah meninggal, saya perlu ambil alih peranan arwah sebelum ini. Saya perlu tegas dalam membesarkan anak-anak.

“Sebenarnya, dahulu arwah tak benarkan saya pukul anak, menjerit atau bercakap kasar dengan mereka. Tapi bila arwah tak ada, sayalah yang kena main peranan,” jelasnya.

Tambah Ina lagi, dia sentiasa berpesan kepada anaknya supaya ingat Allah lebih-lebih lagi apabila anaknya itu sedang diulit dengan populariti sejak menyertai TTMM.

“Saya pesan perkara pertama mesti jaga hubungan dengan Allah. Jaga solat. Jika kita jaga hubungan dengan Allah, Allah akan jaga kita.

“Soal kecaman netizen dia sudah biasa membesar melihat ibu dan bapanya dikecam, dipulau dan sebagainya.

“Jadi apabila sekarang dia pula yang melalui situasi ini, InsyaAllah dia boleh menghadapinya,” ujarnya.

Terdahulu Ina dikecam netizen pada konsert minggu kedua TTMM apabila dia dilihat sering memotong cakap barisan juri sehingga dilabel sebagai ‘manager’ yang tidak rileks. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |