‘Kita boleh buat himpunan satu stadium pertahankan orang Melayu’

5 hours ago 1

KUALA LUMPUR – “Kalau dia buat himpunan, kita boleh buat himpunan satu stadium pertahankan dasar membela nasib orang Melayu,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pihak pembangkang yang ‘mengganggu’ Akta Pembaharuan Semula Bandar untuk direalisasikan.

Beliau menegaskan perkara itu susulan rancangan penganjuran himpunan daripada pihak pembangkang terutama Pemuda Pas berhubung himpunan membantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar.

“Saya nak bagitahu kepada mereka, jangan cabar kita. Kalau kita nak bela nasib orang miskin, majoriti melayu sebahagian kecil India Cina, dan kamu nak ganggu.

“Yang menentangnya Melayu, guna atas nama parti Melayu, parti Islam. Apa dia pernah cadang tolong Melayu? Tidak ada. Dia pernah cadang apa nak dilakukan untuk bela nasib Melayu miskin di bandar? Tidak ada,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Wakaf Mara Madani 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Anwar berkata, Akta Pembaharuan Semula Bandar adalah memastikan orang Melayu tidak hidup merempat di bandar, malah ia tidak mengubah status rizab Melayu di kawasan bandar.

“Melayu tinggal di flat paling miskin tahun 60-an ia dibina dengan satu bilik serta satu bilik mandi dan tandas. Sekarang tahun 2025, dia masih merempat begitu rupa.

“Kita fikir bagaimana harus dilakukan, nak bangunkan tak boleh kerana undang-undang, sekatan dan masalah. Tanah rizab Melayu masih kekal, status tak ubah.

“Malah kita nak gunakan undang-undang ini bangunkan semula supaya orang Melayu di bandar, di Kuala Lumpur umpanya supaya tidak hidup merempat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga terbuka sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai cadangan atau usul selain mahu memberi teguran berhubung Akta PSB berkenaan.

“Kita usulkan, kalau ada nak ditegur, tegur. Nak bagi pandangan tambahan, silakan. Tapi jangan khianat usaha kita, ini antara komitmen kita dan Kerajaan Madani, catat pertumbuhan kemajuan hasil lebih tinggi,” – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |