MADRID – Kira-kira 50 juta orang terputus bekalan elektrik di seluruh Eropah Barat, menyebabkan Sepanyol dan Portugal terpaksa mengisytiharkan darurat, lapor laman berita The Mirror semalam.
Orang ramai yang panik menyerbu pasar raya dan menyebabkan rak-rak kosong ketika sebahagian besar penduduk menghadapi malam tanpa bekalan elektrik.
Bekalan elektrik turut terputus di lapangan terbang utama ibu negara Sepanyol, Madrid dan kereta api bawah tanah, manakala lampu isyarat di bandar raya itu tidak berfungsi sekitar tengah hari.
Rangkaian tren di Lisbon, Portugal juga tidak lagi beroperasi, manakala perkhidmatan jalur lebar, telefon talian tetap dan sistem tanpa wayar 5G dilaporkan terputus di kedua-dua negara.
Beberapa pemotongan kuasa juga berlaku di sebahagian Perancis.
“Bekalan elektrik yang terputus di Portugal dan Sepanyol memberi kesan kepada akses ke beberapa lapangan terbang serta menjejaskan operasi termasuk di Lisbon, Madrid dan Barcelona,” kata syarikat penerbangan easyJet.
Sementara itu, bekalan elektrik mula pulih di Sepanyol dan Portugal awal pagi ini selepas mengalami gangguan besar.
Pengendali bekalan elektrik Portugal, Ren berkata, gangguan itu disebabkan oleh kerosakan pada grid elektrik Sepanyol, berkaitan dengan ‘fenomena atmosfera yang jarang berlaku’.
Ren menyatakan bahawa, disebabkan suhu ekstrem di Sepanyol, terdapat ‘ayunan anomali’ dalam talian voltan sangat tinggi.
Tambahnya, memandangkan kerumitan isu itu, rangkaian boleh mengambil masa sehingga seminggu untuk kembali normal sepenuhnya.
Selain Sepanyol dan Portugal, masalah bekalan elektrik turut berlaku di sebahagian Belgium, Andorra dan Perancis. – AGENSI