PETALING JAYA – Sebanyak 1,000 pek bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai menerusi Program Kongsi Berkat Bubur Lambuk anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Media Mulia Sdn. Bhd. di pekarangan parkir lobi syarikat itu, hari ini.
Ketua Unit Komunikasi Korporat KKDW, Nor Najihah Sukor berkata, pihak kementerian sentiasa komited menyokong pelaksanaan inisiatif seperti ini yang bukan sahaja menyemarakkan semangat Ramadan, malah memperkukuh sinergi strategik antara agensi media, kementerian dan masyarakat.
Menurut beliau, inisiatif seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat secara langsung kepada penerima, malah berperanan sebagai platform memperkukuh nilai kebersamaan, keprihatinan dan semangat berkongsi dalam kalangan masyarakat
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan KKDW dalam menyantuni masyarakat melalui pendekatan kolaboratif bersama rakan media, di samping berkongsi bersama keberkatan dalam bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut.
Tambah beliau, pemilihan juadah bubur lambuk adalah kerana ia cukup sinonim dengan bulan Ramadan, selain praktikal dalam proses penyediaan dan pengagihan kepada orang ramai.
“Pemilihan juadah ini memudahkan proses agihan kepada kepada masyarakat setempat, di samping mengekalkan elemen tradisi yang dekat dengan rakyat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Nor Najihah berkata, KKDW terus memperluas pelaksanaan inisiatif berimpak sosial sepanjang Ramadan melalui pelbagai pendekatan strategik yang memfokuskan kepada pengukuhan kesejahteraan komuniti serta penyampaian perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan berkesan, selaras dengan usaha memperkasa pembangunan masyarakat luar bandar.
Katanya, kerjasama dengan agensi media akan terus diperkukuh dalam usaha memastikan lebih banyak program berbentuk komuniti dapat dilaksanakan pada masa hadapan.
“Medium seperti ini sangat baik kerana ia membantu kementerian lebih dekat dengan masyarakat, selain berkongsi keberkatan dalam bulan Ramadan,” katanya
Sementara itu, Pengarah Urusan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar berkata, program agihan bubur lambuk tersebut merupakan penganjuran tahun keempat oleh pihaknya.
Jelas beliau, program itu diadakan di beberapa lokasi berbeza sebelum ini dengan tujuan menyemarakkan semangat Ramadan.
Pihaknya juga merancang untuk memperkenalkan pembaharuan seperti majlis berbuka puasa, moreh dan ceramah agama pada masa akan datang bagi mempelbagaikan program.
“Kita sebagai organisasi perlu sentiasa berinovasi supaya program seperti ini terus relevan dan mendapat sambutan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
2
![[VIDEO] Orang UK serbu air jagung Malaysia, siap bungkus bawa balik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-18-at-17.09.05.jpeg)
















































