SUNGAI BULOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan disahkan meninggal dunia disyaki akibat digigit haiwan liar dalam kejadian di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.40 pagi.
“Doktor bertugas telah memberikan bantuan pernafasan, namun tiada tindak balas dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.14 pagi.
“Pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa mendapati terdapat kesan calar dan luka di bahagian kepala serta badan. Mangsa dibawa ke hospital oleh ibu bapanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bapa mangsa yang berusia 31 tahun turut membuat laporan polis dan memaklumkan bahawa kejadian berlaku ketika beliau dan isteri pulang dari tempat kerja pada pukul 8.15 pagi.
“Setibanya di rumah, mereka mendapati pintu rumah dalam keadaan terbuka dan mangsa tiada di dalam rumah. Selepas mencari di sekitar kawasan, mereka menemui mangsa kira-kira 20 meter dari rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri serta dikelilingi beberapa ekor anjing.
“Mangsa dipercayai tinggal bersama pakciknya ketika kejadian dan hanya menyedari kehilangan mangsa selepas terdengar jeritan ibu bapa mangsa,” katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian dan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis di mana-mana balai terdekat atau menghubungi Hotline Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-6156 1222 atau Pegawai Penyiasat, Insp. Mohamad Aizad Abd Azik di 013-4861194.– KOSMO! ONLINE