Jangan tutup ruang anak muda jadi penjawat awam

6 hours ago 4

Saudara Pengarang,

Cadangan untuk menaikkan had usia persaraan hingga usia lebih 60 tahun oleh sesetengah pihak baru-baru ini perlu dikaji dengan teliti kerana boleh memberi kesan kepada banyak pihak khususnya generasi muda.

Untuk rekod, had usia bersara di Malaysia mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun lalu, bermula pada 2001 apabila umur bersara penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun. Pada 2008 pula dari 56 tahun kepada 58 tahun.

Perubahan sekali lagi disaksikan pada 2012 apabila had usia persaraan dilanjutkan dari 58 tahun kepada 60 tahun.

Cadangan terkini kepada 60 tahun diberikan berdasarkan beberapa faktor dan perkembangan semasa seperti faktor ekonomi dan keadaan kewangan semasa negara.

Faktor jangka hayat dan usia penduduk Malaysia yang dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun juga sering digunakan sebagai alasan untuk menaikan had usia bersara ini.

Terdapat juga faktor keutamaan yang perlu diberikan terhadap sesetengah sektor kritikal pekerjaan tertentu yang melibatkan pengunaan pekerja mahir yang memerlukan pengekalan
seseorang pekerja selama yang mungkin.

Perlu diingat, walaupun kadar usia penduduk Malaysia dilihat meningkat dari tahun ke tahun, faktor kesihatan para pekerja juga perlu diberi tumpuan. Tidak dapat dinafikan, secara fitrah makin bertambah usia seseorang, makin kurang tahap tenaga atau kualiti kesihatan.

Jika tahap tenaga dan faktor kesihatan seseorang pekerja terjejas akibat daripada peningkatan usia mereka, ini boleh menjejaskan kualiti kerja yang ingin diberikan.

Dengan penambahan had usia persaraan, ia juga menyebabkan ruang dan peluang pekerjaan terutamanya di sektor perkhidmatan awam menjadi semakin mengecil untuk diceburi oleh generasi muda yang amat memerlukan pekerjaan.

Negara kita amat perlukan tenaga kerja dari kalangan orang muda yang memiliki tenaga, inovasi dan kreativiti untuk membawa negara ini ke arah kemajuan.

Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow
Kuala Lumpur

Read Entire Article
Pertanian | | | |