Jangan tinggalkan rumah emak, ayah ibarat tongkang pecah

7 hours ago 6

PETALING JAYA – Perantau yang ingin kembali ke kota selepas meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri di kampung, diingatkan untuk tidak sesekali meninggalkan rumah ibu bapa seperti ‘tongkang pecah’ yang akhirnya membebankan orang tua itu dengan kerja-kerja rumah.

Menerusi pesanan oleh Public Health Malaysia (PHM), mereka perlu memikirkan keadaan kesihatan ibu bapa yang terpaksa berdepan keadaan rumah yang ditinggalkan dengan tidak terurus selepas anak dan cucu pulang ke kota.

“Kereta dah diisi penuh, beg dah masuk bonet, anak-anak dah bersiap nak bergerak balik ke Kuala Lumpur. Mak ayah melambai di halaman dengan senyuman. Tapi bila kereta anda hilang daripada pandangan, mak ayah pusing ke belakang dan melepaskan keluhan berat.

“Rumah yang tadi meriah dengan gelak tawa, kini bertukar jadi ‘tongkang pecah’. Singki penuh dengan kuali dan pinggan mangkuk berkerak, ruang tamu bersepah, sampah lampin pakai buang cucu menggunung tak dibuang dan peti ais pula licin.

“Wahai anak-anak, jangan tinggalkan kampung sebegini rupa. Fikirkan kudrat dan kesihatan fizikal ibu bapa kita. Tulang dan sendi mereka bukan macam orang muda lagi. Jangan biarkan mereka yang dah penat berhari-hari memasak dan melayan tetamu, terpaksa menyambung shif mengemas seorang diri,” menurut hantaran PHM pada Facebook hari ini.

Sehubungan itu, bagi memastikan tidak berlaku kejadian seperti itu, terdapat tiga perkara boleh dilakukan sebelum mereka menghidupkan enjin kereta untuk bergerak kembali ke kota.

“Pastikan anda buat tiga senarai semak adab ini. Pertama, kemas semua rumah kepada keadaan asal. Sental kuali, basuh semua pinggan mangkuk. Sapu dan mop lantai yang melekit kesan air tumpah, susun balik kusyen ruang tamu. Ikat dan buang semua sampah di luar sebelum gerak.

“Seterusnya, tambah semula barang dapur. Raya ni banyak bahan mentah mak ayah dah habis guna untuk jamu kita. Beli dan isikan semula beras, telur, susu, gula, minyak masak dan lauk basah,” kata PHM.

Hal ini kerana kadangkala ibu bapa tidak meminta untuk dibelikan barangan tersebut kerana mereka juga berasa segan.

“Ketiga, tinggalkan sedikit duit belanja kat tangan mereka. Balik beraya bukan sekadar hadir bawa tubuh dan kemudian tinggalkan beban. Tinggalkanlah kampung dengan meringankan tugas mereka, itulah adab seorang anak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |