KUALA LUMPUR – Penuntut Maktab Tentera Diraja (MTD) diingatkan supaya tidak sesekali membawa sebarang budaya negatif ke menara gading atau bidang professional pada masa hadapan.
Peringatan itu ditegaskan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar sewaktu berucap pada Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi hari ini.
Menurut Mohd. Nizam, budaya negatif itu tidak seharusnya wujud apatah lagi bermula dari maktab keramat terbabit.
“Kecemerlangan bukan satu kemahiran, tetapi ia adalah satu sikap. Sebagai pemimpin negara, anda sewajarnya mengamalkan nilai nilai murni seperti integriti, kecekapan dan keberanian.
“Pemimpin yang berjaya bukan diukur dari segi pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga keprihatinan terhadap isu-isu sosial serta komitmen serta memperbaiki kehidupan masyarakat,”katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, apa yang dilalui semua penuntut di maktab itu juga tidak sama dengan pelajar di sekolah berasrama penuh.
“Di sini (MTD) ia mengubah anda menjadi seorang lelaki, belajar apa itu erti persaudaran dan kesusahan. Di sini juga anda belajar erti syukur.
“Apa yang paling penting di sini adalah semua penuntut belajar tentang kepimpinan. Di hadapan saya ini adalah semua pemimpin pada masa hadapan dan anda akan keluar sebagai Putera yang membawa bersama reputasi dan kehebatan MTD,”ujarnya.
Terdahulu, majlis perbarisan itu menampilkan lapan detasmen dengan penglibatan keseluruhan seramai 436 Putera yang terdiri daripada 204 putera tingkatan lima dan 232 putera tingkatan empat bagi siri pengajian tahun 2024.
Sempena majlis itu juga, Pegawai Rendah Muda Myzan Haqiemy Muzainy dari Kompeni Foxtro telah dinobatkan sebagai Putera Terbaik Keseluruhan dan sekali merangkul Anugerah Menteri Pertahanan. – KOSMO! ONLINE