HAMPIR tiga dekad menghambakan diri sebagai anak seni, segala macam 1,001 suka duka tersimpan rapi dalam kamus kerjaya seni Bell Ngasri.
Menyingkap selembar kisar lalu, Bell memulakan kerjaya sebagai pelakon kanak-kanak sekitar 1996 selain berjaya membuktikan bakat yang dimiliki mampu memahat namanya sehingga ke hari ini.
Mensyukuri setiap peluang, Bell mengakui bakat yang dianugerahkan Tuhan itu tetap berada di tangga kedua pada awal kemunculannya apabila terdapat pengarah dan penerbit lebih mengutamakan rupa paras, lebih-lebih lagi untuk memegang watak utama atau hero.
Paling membekas dalam kotak ingatan, terdapat pengarah yang mempersoalkan ketinggiannya yang dikatakan tidak memenuhi kriteria sebagai hero filem mahupun drama.
“Ada yang cakap pada saya di hadapan kru produksi dengan memperlekehkan ketinggian saya dan kata saya tidak layak pegang watak hero.
“Kata mereka, macam mana nak jadikan hero sebab saiz saya kecil. Itu perkara normal saya terima sekitar awal era 2000-an.
“Dengar memang pedih tapi saya okey dan hadap sahaja sebab saiz serta tinggi begini yang Tuhan sudah kurniakan,” katanya kepada HibGlam.

Rancak berkongsi cerita, pemilik nama penuh Ngasrizal Ngasri itu berkata amalan sebegitu selalunya dilakukan pihak pengarah, mereka suka membanding-bandingkan fizikalnya dengan orang lain termasuk pelakon baharu.
“Kau sudahlah kecil, nak jadi hero pun orang takkan akan panggil. Tukarlah kerjaya buat kerja lain.
“Kebanyakan yang perlekeh juga adalah disebabkan saiz badan dan mereka adalah dalam kalangan pemain industri sendiri.
“Ketika itu saya sudah beberapa tahun bergelar pelakon kemudian diburukkan di depan pendatang baharu. Individu itu kata ‘ini contoh kalau nak jadi hero, Bell tengok.’
“Jadi, apa perasaan kalian bila dilemparkan kata-kata sebegitu tetapi saya hanya mampu tersenyum, namun tak kisah pun,” katanya lagi.
Meski menerima diri seadanya, Bell tetap pernah terfikir, adakah banyak perkara positif akan berlaku sekiranya dia mempunyai ketinggian yang memenuhi kriteria seorang hero.
“Saya tak terfikir nak makan ubat tinggi apatah lagi benci dengan fizikal sendiri. Namun, sebagai manusia, pastinya sentiasa rasa puas hati.
“Tipulah kalau tak pernah berangan nak tinggi dan jadi hero lebih hebat.
“Susah saya nak dapat tempat jadi pelakon filem sampai orang nak tengok pun takut. Rendah begini siapa yang takut?
“Apa pun saya bersyukur sahaja. Kalau saya tinggi, mungkin dapat banyak job tapi mungkin juga akan terleka atau hidup jadi huru-hara sebab peminat menggila.
Kesihatan
Ketika masyarakat dihidangkan dengan sifat periang dan karakter yang sentiasa menghiburkan, Aktor Pembantu Terbaik Anugerah Skrin 1998 itu mengakui tidak terlepas daripada melalui episod sukar akibat masalah kesihatan.
Namun, atas kecintaan terhadap kerja, segala kesakitan diketepikan pelakon yang popular dengan tagline ‘yak yak yeh’ tetapi akhirnya ‘rebah’ jua dalam satu insiden tahun lalu.
“Dalam filem 6 Jilake, ada babak saya dukung dan lambung seorang kanak-kanak perempuan yang hampir sama besar seperti saya seharian sampai ke maghrib.
“Dukung terlalu lama buatkan saya rasa sakit pinggang. Kemudian sepanjang tempoh memandu dari Gopeng ke Kuala Lumpur, badan berpeluh tanpa henti, dalam keadaan tercungap dan tiba di depan pintu rumah, saya pengsan.

“Kemudian adik saya bawa ke hospital tetapi esoknya saya masih lagi bekerja. Bukan degil tetapi penggambaran melibatkan ramai orang, set berbayar, sebab itu saya habiskan juga.
“Saya hanya ingat hanya pegang pintu rumah sahaja ketika itu. Bila sedar, saya tersandar selepas muntah di garaj rumah,” jelasnya bintang drama 19 Puasa itu.
Bell juga tidak menafikan usia yang sudah mencecah 45 tahun antara faktor terjadinya insiden tersebut.
“Kalau ada adegan perlu berlari di tengah panas terik pun saya akan tetap lakukan jika pengarah minta.
“Saya tak boleh memilih dan cerewet sebab tiada pilihan sebab ini periuk nasi saya. Saya hanya tahu berlakon sahaja,” ujarnya lagi.
Seperkara yang cukup menyedarkan Bell, kini bukan lagi fasa lagi mengejar kemewahan hidup.
Tegasnya, kemewahan dan keseronokan bukan lagi sasaran utama, sebaliknya hanya ingin terus memberi naskhah terbaik kepada khalayak.
“Hidup ini bukan nak mengejar kaya sahaja tapi pada masa, berbakti kepada masyarakat dan industri.
“Saya kalau nak menyesal sejak dahulu lagi, tapi tiada rasa begitu sepanjang tempoh perjalanan seni ini. Ini memang pilihan saya sejak kecil iaitu menghambakan diri kepada dunia seni.
“Walaupun cita-cita mahu jadi angkasawan, tapi tak menyesal sebab ini rezeki,” tuturnya mengakhiri perbualan.
BUKAN soal mengejar kekayaan, perjalanan Bell sebagai selebriti adalah sebuah kelestarian hidup. Dia hanya tahu berlakon dan itulah akan dikerjakan selagi hayat dikandung badan.
TIDAK sekadar tuah, kemenangan Bell merangkul Anugerah Bintang Paling Popular ke-35 dua tahun lalu membuktikan, tuah dan pencapaian seseorang anak seni tidak mengira hayat, selagi ada kecintaan dan kesungguhan, rezeki akan berpihak juga kepada sesiapa pun. – AMIR KHALID