GrabFood 5-Star Awards 2024 iktiraf pemain industri makanan, jalin kerjasama bersama Tourism Malaysia

2 weeks ago 21

PETALING JAYA – Sebanyak 148 restoran terbaik di Malaysia telah diraikan oleh GrabFood Malaysia menerusi GrabFood 5-Star Awards 2024 yang berlangsung secara gilang-gemilang di sebuah hotel di Damansara, Rabu lalu.

Kali ini, GrabFood 5-Star Awards 2024 turut memperkenalkan kategori baharu, Trending Dine-Out Restaurant sebagai usaha berterusan Grab dalam menyokong kejayaan rakan-niaga bukan sahaja secara dalam talian malah di premis fizikal, sejajar dengan perkembangan dinamik industri makanan dan minuman.

Pengarah Komersial dan Penghantaran Grab Malaysia, Jiong Jian Tan berkata, anugerah tersebut merupakan komitmen pihaknya dalam membantu perniagaan makanan untuk berkembang maju melalui inovasi teknologi, pandangan industri yang bernilai serta mewujudkan permintaan yang tinggi dari pelanggan.

“Anugerah ini merupakan pengiktirafan kami terhadap pencapaian cemerlang rakan niaga dan untuk makluman, pada 2024 rakan niaga GrabFood secara kolektif telah meraih pendapatan melebihi RM3 bilion dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencatat pertumbuhan pendapatan sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Ini membuktikan keberkesanan platform digital dalam memacu pertumbuhan dalam bidang perniagaan tempatan,” katanya pada majlis GrabFood 5-Star Awards 2024.

Terdahulu, sepanjang tempoh pengundian, hampir 20,000 undian telah diterima dari serata pelusuk negara, membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap pilihan tempat makan kesayangan mereka. 

Secara keseluruhan, rakyat Malaysia telah memberikan hampir 40 juta penilaian di GrabFood, membuktikan peranan platform ini dalam membentuk cita rasa masyarakat dan menyokong kemajuan rakan niaga.

Tambah Jian Tan, Grab kini telah menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat Malaysia dalam mencari dan menikmati hidangan, menawarkan lebih daripada sekadar kemudahan.

Ia turut menjadi platform untuk masyarakat menemui kelazatan tempatan, menyokong bakat kulinari tanah air dan menghubungkan dengan restoran pilihan mereka.

Dalam pada itu, penerima anugerah Best of the Best, GrabFood 5-Star Awards 2024, Datuk Seri Mohd Shamil Ngoh Abdullah menerusi Village Park Restaurant berkata, kejayaan yang diterimanya selama tiga tahun berturut-turut merupakan hasil usaha keras pasukan dalam mengekalkan kualiti setiap hidangan. 

Antara pemenang GrabFood 5-Star Awards 2024 di Damansara Rabu lalu.

“Saya percaya, penjagaan kualiti makanan yang terbaik akan mendorong lebih ramai pelanggan untuk terus menyokong sesebuah perniagaan.

“Demi menjaga kualiti makanan saya sendiri yang masak walaupun ada pekerja, dan mereka juga ditegaskan untuk sama-sama menitik-beratkan standard ditetapkan,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Grab Malaysia turut memeterai memorandum kerjasama (MoU) bersama Tourism Malaysia bagi melonjakkan sektor pelancongan makanan negara sambil membuka peluang baharu kepada pengusaha makanan tempatan.

Perkongsian strategik itu dijangka akan membuka lembaran baharu untuk pertumbuhan perniagaan makanan tempatan, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi kulinari bertaraf dunia.

Dengan menampilkan restoran lima bintang daripada pelbagai negeri sebagai tarikan gastro-pelancongan, Grab memudahkan pelancong untuk menerokai dan menikmati warisan kulinari Malaysia yang kaya serta pelbagai.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, pihaknya amat berbangga dengan jalinan kerjasama bersama Grab Malaysia sekaligus memartabatkan Malaysia sebagai hab makanan serantau.

“Inisiatif seperti GrabFood 5-Star Awards bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian sajian kita, malah turut memperkasa para usahawan tempatan untuk melonjak lebih jauh.

“Kami berharap dapat memanfaatkan platform Grab dan jaringannya yang luas untuk memudahkan pelancong dan pengembara menemui lokasi-lokasi makanan di seluruh Malaysia, sekaligus memperkaya pengalaman dan penghayatan mereka terhadap warisan makanan kita yang tidak ternilai,” jelasnya.

Dua penerima anugerah Best of the Best, GrabFood 5-Star Awards 2024.

Sementara itu, corak batik yang menjadi tema pada GrabFood 5-Star Awards direka dan diinspirasikan oleh pelukis terkenal, Arif Rafhan Othman. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |