Gaya Raya 2026 Central i-City – Adunan kemodenan dengan akar tradisi

3 hours ago 2

SHAH ALAM – Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, pusat beli-belah Central i-City melancarkan kempen bertemakan ‘Gaya Raya 2026’ yang menggabungkan gaya hidup moden dengan akar tradisi perayaan.

Sebagai pusat membeli-belah yang ikonik di Shah Alam, kempen Hari Raya Central i-City membolehkan para pengunjung merasai kemeriahan dan kehangatan musim perayaan, selain menyertai aktiviti berfokuskan komuniti.

Kempen yang akan berlangsung sehingga 5 April 2026 itu dilancarkan secara rasmi oleh Ahli Majlis MBSA, Nur Yusmi Mohd. Yusof yang mewakili Exco Selangor merangkap ADUN Kota Anggerik, Mohd. Najwan Hamidi dan Ketua Bahagian Pemasaran Central i-City, Alfred Chua.

Dalam ucapan perasmiannya, Nur Yusmi berharap program ini dapat membawa keberkatan serta menghidupkan semangat berkongsi rezeki dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Inisiatif seperti ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidilfitri, tetapi juga mengeratkan hubungan antara komuniti, pengunjung dan pihak pengurusan,” katanya.

Sementara itu, Alfred berkata, sempena Aidilfitri, pihaknya turut menganjurkan ‘Mega Raya Bazaar’ yang menampilkan lebih daripada 80 jenama tempatan sebagai usaha menyokong usahawan lokal serta memberi peluang kepada mereka memperkenalkan produk kepada para pengunjung.

“Sebagai tanda penghargaan kepada komuniti, dengan kerjasama Ahli Majlis MBSA, Mandy Ooi, kami juga menjemput 25 orang pelajar terpilih dari sekitar Shah Alam untuk berbuka puasa bersama serta membeli pakaian raya atau kasut di Central i-City,” katanya.

Dari kiri: Wan Jepah, Nur Yusmi dan Alfred merasmikan kempen ‘Gaya Raya 2026’.

Visi moden berteraskan tradisi

Bagi mencerminkan gaya hidup yang semakin berkembang dalam kalangan keluarga Malaysia masa kini, Central i-City bekerjasama dengan artis doodle tempatan, Wan Jepah untuk menghasilkan identiti visual bagi kempen tersebut.

Wan Jepah dilahirkan di Ipoh dan merupakan lulusan Seni Halus Universiti Teknologi MARA. Beliau menggunakan gaya lakaran tersendiri untuk menggambarkan sebuah keluarga moden yang memandu kenderaan elektrik ke Central i-City bagi membeli keperluan Hari Raya mereka.

Mengaitkan perjalanan moden ini dengan warisan tradisi, karya seni Wan Jepah berlatarbelakangkan rumah kampung tradisional, menampilkan babak nostalgia keluarga yang berkongsi detik kegembiraan, memasak lemang, dan menyediakan hidangan perayaan bersama-sama.

Kakitangan Central i-City Shopping Centre berbuka puasa bersama pelajar dari Sekolah Kebangsaan Subang.

Semangat Ramadan

Bagi memantulkan semangat Ramadan, Central i-City meletakkan komuniti sebagai teras utama sambutan perayaan ini.

Sebagai usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR), pusat beli belah ini menjemput 25 orang pelajar yang kurang berkemampuan daripada Sekolah Kebangsaan Subang untuk sesi membeli belah petang dan potongan rambut percuma. Mereka juga dijemput untuk berbuka puasa bersama tetamu.

Selain itu, dengan tujuan menggalakkan budaya berkongsi dan bersedekah sepanjang bulan Ramadan yang mulia, Central i-City juga mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung.

Bazaar Mega Raya di Central i-City Shopping Centre menghimpunkan lebih 80 gerai yang menjual pakaian Raya, aksesori, hiasan serta makanan tradisional perayaan.

Pengalaman unik bazar perayaan

Sebagai destinasi gaya hidup terkemuka di barat Kuala Lumpur, Central i-City menawarkan pengunjung destinasi ‘One-Stop’ yang meriah untuk bersedia menyambut Hari Raya.

Antara tarikan utama adalah Mega Bazaar Raya yang tersohor, menampilkan lebih 80 gerai yang menawarkan baju raya, aksesori, hiasan perayaan, dan juadah tradisional raya, mengumpulkan pelbagai keperluan perayaan serta produk tempatan unik di bawah satu bumbung.

Bagi memeriahkan suasana perayaan, Central i-City juga menganjurkan Bazaar Ramadan yang tidak kurang hebat sehingga 17 Mac ini.

Pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan jalanan, juadah tradisional Ramadan, dan minuman menyegarkan yang memberikan suasana sempurna untuk keluarga dan rakan-rakan berbuka puasa bersama.

Membawakan pengalaman beli-belah dan hiburan dalam satu lokasi yang selesa serta berhawa dingin, Central i-City melanjutkan waktu operasi dari 10 pagi hingga 11 malam dari 13 hingga 20 Mac 2026.

Turut diadakan ialah sesi Cabutan Bertuah Raya pada hujung minggu selama tiga hari (13-15 Mac) dengan hadiah baucar tunai sehingga RM2,600, selain tempat letak kereta percuma dari 6 petang hingga 12 tengah malam pada 16 hingga 20 Mac.

Pelbagai persembahan budaya diadakan sepanjang tempoh kempen di Central i-City Shopping Centre, termasuk dikir barat dan muzik angklung.

Persembahan, pertandingan raya

Sepanjang tempoh kempen, pengunjung boleh menyertai dan menikmati pelbagai persembahan dan acara hiburan budaya termasuk dikir barat, pertunjukan perkusi raya, muzik angklung, perarakan ketupat, tarian gaya jalanan, serta pemuzik jalanan oleh AP Duo.

Central i-City juga menganjurkan beberapa pertandingan awam untuk penyertaan seisi keluarga dan bakat muda.

28 Mac
12 pm hingga 5 pm: Pertandingan Fesyen Raya yang mempamerkan kreativiti dalam pakaian perayaan.

29 Mac
11 am atau 2 pm: Pertandingan mewarna kanak-kanak
4 pm hingga 7 pm: Persembahan silat yang menonjolkan keindahan dan disiplin seni mempertahankan diri tradisional Melayu.

5 April
12:00 pm hingga 7:00 pm: Pertandingan Tarian Gaya Raya

Ikuti Central i-City untuk maklumat terkini di Facebook, Instagram, TikTok dan Xiaohongshu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |